BERITA


Formula damai MCA

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my


NAJIB melihat rekaan corak batik 1Malaysia yang diperkenalkan Kraftangan Malaysia sebelum mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, semalam. Rekaan batik berkenaan bakal dijadikan pakaian rasmi untuk kempen serta majlis 1Malaysia.

Najib harap pihak bertelagah terima syor selesai kemelut secepat mungkin

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak semalam mencadangkan formula kepada kepemimpinan MCA yang bertelagah bagi menyelesaikan kemelut politik parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri yang sudah menemui pemimpin parti itu sejak kelmarin bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk formula yang dicadangkannya.

Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meneruskan perbincangan dengan pemimpin MCA berdasarkan formula itu, kerana terpaksa menghadiri persidangan Ketua Negara Komanwel (Chogm) di Trinidad & Tobago.

"Saya sudah menggambarkan bentuk penyelesaian dan formula yang boleh diterima semua pihak dengan harapan formula ini dapat mengembalikan kredibiliti dan keyakinan ahli MCA dan masyarakat Cina terhadap MCA.

"Saya difahamkan mereka sedang menimbangkan cadangan ini dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan mereka boleh menerima cadangan saya kemukakan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan surat wakil pengurusan korban sempena Aidiladha bagi Parlimen Pekan di Bangunan Umno Pekan di sini, petang semalam.

NAJIB melihat sebahagian lembu korban yang diagihkan dalam Parlimen Pekan selepas majlis penyerahan surat wakil pengurusan ibadat korban di Pekan, semalam.

Najib diminta mengulas pertemuan dengan kumpulan bertelagah MCA selepas menyifatkan krisis MCA yang berlarutan hampir tiga bulan itu semakin serius dan perlu ada penyelesaian segera.

Semalam, akhbar melaporkan Perdana Menteri memutuskan untuk bertemu kumpulan bertelagah bagi mencari jalan penyelesaian kerana kegagalan kepemimpinan MCA berbuat demikian boleh menyebabkan parti itu tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Cina dan kaum lain.

Ditanya sama ada formula yang dicadangkan itu boleh menyelesaikan krisis kepemimpinan MCA, Najib berkata, beliau yakin perkara itu boleh dilaksanakan.

"Saya yakin boleh... nampaknya ada harapan, tapi kita tunggu sehari dua dan kita nak selesaikan secepat mungkin," katanya.

Ditanya bentuk formula itu, Najib enggan mengulas lanjut dan memberitahu akan memaklumkan perkara itu apabila pemimpin MCA sudah bersetuju dengan formula itu.

Kelmarin, Perdana Menteri bertemu dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat manakala semalam beliau menemui Naib Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rabu lalu, kemelut dalaman MCA mencapai kemuncaknya apabila sembilan penyokong Liow digugurkan daripada Majlis Presiden oleh Ong berkuat kuasa serta-merta.

Berikutan tindakan itu, Liow membuat kenyataan mendakwa Presiden MCA itu mengamalkan politik cantas dan hapus pemimpin yang tidak sehaluan dengannya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menyampaikan surat wakil pengurusan ibadat korban sebanyak 427 lembu dan tiga unta kepada 215 masjid dan surau dalam Parlimen Pekan.


---------------------


TUMPAS: Polis menembak mati penjenayah yang dikehendaki yang juga perancang utama Geng Berong dalam satu kejadian berbalas tembakan di Shah Alam, malam tadi. Turut dijumpai bersamanya ialah tiga bilah parang, sepucuk pistol automatik 0.32, enam butir peluru dan sebutir lagi peluru dalam ruang peluru. Semasa ditembak, suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan satu lagi kes samun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

(Berita - berita ini diambil dari Berita Harian Online, 21 November 2009)





No response to “BERITA”

Post a Comment