DUN Kota Siputeh kosong
Abu Hassan |
Mahkamah isytihar Abu Hassan bukan lagi Adun
KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah selepas kerusi berkenaan diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Abu Hassan Sarif, dari Barisan Nasional (BN) tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.
Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN, hari ini.
Ketika menyampaikan keputusannya pada jam 5.30 petang, Hakim Alizatul menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan SPR bahawa Abu Hassan masih menjadi wakil rakyat bagi Kota Siputeh serta kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.
"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.
"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) berpuas hati dengan syarat itu," katanya ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.
Abdul Isa yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Oktober lalu selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.
Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.
Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.
Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speaker selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.
------------------------------------
KL sasar 50 lagi syarikat BioNexus
Oleh Anwar Hussin dan Ahmad Fiesal Othman
bhnews@bharian.com.my
NAJIB berbual dengan ahli panel selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi sempena Persidangan Bio Malaysia 2009, di Kuala Lumpur, semalam. |
Firma mampu lonjak KDNK 2.5 peratus pada 2011: Najib
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk menambah jumlah syarikat berstatus BioNexus kepada 185 menjelang 2011 daripada 135 syarikat ketika ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, dengan pertambahan 50 lagi syarikat berstatus BioNexus itu, adalah dijangkakan menjelang tempoh dua tahun akan datang, sumbangan syarikat terbabit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat kepada 2.5 peratus berbanding 2.2 peratus ketika ini.
"Ketika ini, 135 syarikat bioteknologi diberi status BioNexus sudah melabur RM1.51 bilion sejak pengenalan Dasar Bioteknologi Kebangsaan pada 2005, dengan pendapatan melebihi RM700 juta dan membabitkan 2,260 pekerja mahir," katanya di sini, semalam.
Najib sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Bioteknologi sempena Persidangan Bio Malaysia 2009 yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur, mulai hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili dan Ketua Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (Biotechcorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat IAP itu adalah asas untuk negara merangka inisiatif utama yang dikenal pasti daripada aliran industri bioteknologi masa kini dan peluang untuk Malaysia menyesuaikan diri dengannya.
Katanya, antara cadangan daripada mesyuarat itu ialah keperluan untuk mewujudkan 'pusat penyelidikan utama' yang mampu menarik pihak berminat dalam industri bioteknologi, termasuk pelajar dan lulusan dalam serta luar negara untuk bekerja dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Bidang bioteknologi adalah teras pembangunan, yang mana Malaysia ada kelebihan berbanding negara lain. Malah, Malaysia boleh menjadi hab pembangunan bioteknikal di rantau ini.
"Malaysia perlu memberi keutamaan untuk menghasilkan nilai tambah bioteknologi dalam bidang perubatan kerana negara mempunyai masyarakat berbilang kaum yang sesuai untuk menguji pasaran global.
"Kita ada masyarakat Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak mewakili pasaran besar global, Malaysia amat sesuai untuk menjalankan kajian ini," katanya.
Katanya, ada juga cadangan supaya kerajaan melihat jurang antara latihan atau pengajaran yang dilakukan di universiti bagi memenuhi keperluan industri.
"Cadangan dan saranan mesyuarat IAP ini akan dipertimbangkan untuk tindakan susulan dan jika ia diterima serta diluluskan kerajaan, pelaksanaannya akan segera dilakukan supaya menjelang mesyuarat IAP seterusnya, kita dapat lihat keputusannya," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Haarian Online - Bernama, 17 November 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment