BERITA


Dr Asri ditahan

Oleh Ifwan Tun Tuah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my


DR MOHD ASRI dibawa untuk siasatan selepas ditahan di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, malam tadi.

Bekas Mufti Perlis didakwa mengajar tanpa tauliah

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut.

Apabila pasukan Jais memasuki premis berkenaan sekumpulan lelaki cuba menghalang anggota penguat kuasa menahannya.

Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib yang turut mempertikaikan kesahihan tindakan Jais untuk menahan Dr Mohd Asri.

Anggota Jais dikatakan memasuki banglo berkenaan kira-kira jam 9 malam dan kelihatan membawa Dr Mohd Asri keluar pada jam 12.10 ke Balai Polis Hulu Klang.

Polis yang memantau operasi turut berdepan masalah kerana tidak mempunyai waran tangkap dan hanya menjadi perantara bagi urusan membawa Dr Mohd Asri dan beberapa pengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan.

Turut mengiringi beliau ke balai polis ialah Zuraida, Saari dan beberapa pengikutnya menaiki kenderaan Jais.

Menurut sumber, Jais menyiasat kegiatan Dr Mohd Asri sejak beberapa bulan lalu kerana dipercayai cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kelompok tertentu, terutama kumpulan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini di sekitar Selangor.

Sebelum ini beliau dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Fahaman itu diperkenalkan Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Muhammad dilahirkan pada 1703 di Najd.

Antara ajaran Wahabi ialah menolak doa qunut, amalan membaca Yasin, bertahlil di kuburan dan zikir selepas sembahyang yang menjadi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ajaran itu dikatakan menimbulkan keraguan serta kontroversi sehingga menyebabkan ia dikatakan punca perpecahan umat Islam di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (Jappis) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan difahamkan menolak serta menyekat ajaran itu disebarkan di negara ini.

Ia tidak bersesuaian dengan pendekatan Islam di negara ini dan dikhuatiri akan menggugat perpaduan umat.

---------------------

Lantik menteri kuasa saya: PM

Oleh Anwar Hussin dan Faiza Zainuddin
bhnews@bharian.com.my


NAJIB dan Koh menunjukkan isyarat tangan 1Malaysia pada Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan, di Kuala Lumpur, semalam.

Najib ingatkan pemimpin BN usah persoal barisan Kabinet

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya tidak mempersoalkan hak beliau sebagai Perdana Menteri untuk melantik barisan menteri Kabinet.

"Jangan persoalkan. Ini hak saya sebagai Perdana Menteri dan saya membuat ini bukan (kerana) saya nak gunakan kuasa. (Ini) sebab saya fikir saya Pengerusi BN... saya kena buat keputusan untuk kepentingan BN.


"Saya bukan Presiden Umno saja... saya Pengerusi Barisan Nasional. Saya bukan saja Perdana Menteri untuk orang Melayu... saya Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan di sini, semalam.

Beliau menjelaskan pelantikan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bagi menghargai sumbangan dan jasa parti itu kepada negara.

Katanya, pelantikan Dr Koh juga kerana mahu suara ahli Gerakan sampai kepada kerajaan, selain sebagai sebahagian daripada proses pemulihan parti itu selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

Pada Khamis lalu, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz, ketika membahaskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat, menggesa Dr Koh melepaskan jawatan kerana didakwa mempamerkan prestasi lemah.

Beliau turut menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kerana ahli parti itu sudah hilang keyakinan terhadapnya.

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai kemelut dalaman parti komponen BN dan mahu ia diselesaikan segera bagi menguatkan BN.

"Jika ada masalah dalaman, cepat-cepatlah selesaikan. Tunggu apa lagi? Selesaikan masalah... kuatkan BN. Pastikan kita ada landasan, hala tuju dan prinsip yang jelas," katanya.

Perdana Menteri membuat teguran itu kerana beberapa parti seperti MCA dan MIC masih bergelut untuk menyelesaikan pergolakan dalaman masing-masing.

Najib juga meminta Gerakan tidak lemah semangat kerana kekalahan adalah perkara biasa dalam putaran kehidupan dan harus bangkit menjadi parti yang dinamik dan progresif seperti ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.

"Kita mesti sedar, dalam politik seperti kehidupan, bukan selalunya indah. Yang penting... yang akan menentukan sama ada kita akan berjaya ataupun tidak ialah teguh dengan pendirian kita.

"Jika anda teguh dengan pendirian, percaya dengan apa yang dilakukan, apa yang anda pertahankan, anda percaya dengan perjuangan... anda dapat mengatasi semua cabaran, semua kesusahan," katanya.

Perdana Menteri memberi contoh kepada kejayaan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang yang dianggapnya 'kehancuran sempurna' untuk pembangkang.

"Siapa kata BN tidak boleh kembali dengan kekuatan. Kita buktikan kritikan itu salah. Kita relevan kerana kita sanggup berubah dan hala tuju kita adalah gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau turut mengakui sebelum pilihan raya umum lalu, BN dilihat seperti tiada hubungan dengan rakyat dan kerana itu BN perlu berubah untuk kebaikan.

Selain itu, beliau menafikan Umno adalah parti perkauman, sebaliknya bersifat inklusif yang membenarkan kaum lain hidup aman damai di negara ini.

"Lihat dasar Umno daripada dulu. Jika kita perkauman, sudah tentu kita suruh tukar nama, macam di negara jiran kita... tukar kepada Hartono. Kita tidak amalkan itu, kita benarkan lagi nama Koh Tsu Koon dan Lim Keng Yeik. Jika Umno perkauman, kita tukar nama, kita tidak benarkan sekolah Cina dan Tamil. (Tetapi) kita inklusif, kita ambil kira semua kaum," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 2 November 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment