BERITA

MCA pecat Chua Soi Lek, kuat kuasa serta-merta

KUALA LUMPUR: Lembaga Presiden MCA menerima syor jawatankuasa disiplin MCA untuk memecat timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, sebentar tadi.

Chua Soi Lek

Keputusan memecat Dr Chua daripada parti berkuat kuasa serta-merta malam ini.

Keputusan pemecatan itu diambil berikutan isu Dr Chua Soi Lek dan DVD skandal seks beliau yang dianggap menjejaskan imej parti komponen Barisan Nasional berkenaan.

----------------

Malaysia, Australia bersama tangani isu penyeludupan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia hari ini mencapai kata sepakat untuk memberi komitmen yang tinggi dalam menangani isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang yang menjadi fokus penting kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang adalah satu isu yang perlu ditangani dalam konteks dua hala dan serantau.
Ke arah itu, katanya kemahuan politik kedua-dua negara amat diperlukan bagi memastikan semua agensi yang terbabit dalam menangani isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang dapat memberikan kerjasama yang baik.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah memberi persetujuan kepada pihaknya untuk mengorak langkah lebih jauh dalam usaha menangani isu itu yang mencetuskan tanggapan dunia bahawa Malaysia sebagai negara transit.

"Dalam perjumpaan antara saya dan Penasihat Keselamatan kepada Perdana Menteri Australia, Duncan Lewis dengan Perdana Menteri petang tadi, Perdana Menteri memberitahu usaha menangani isu ini akan diteruskan secara tersusun kerana kedua-dua negara mahu memastikan masalah ini dapat diatasi dan rantau ini bebas daripada segala kegiatan berkaitan.
"Komitmen Datuk Seri Najib dengan Perdana Menteri Australia dalam isu yang dibincangkan kedua-dua pihak hari ini sangat tinggi dan ini amat diperlukan oleh kita di peringkat kementerian dan agensi,", katanya.

i.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Duncan sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja Malaysia dan Australia Mengenai Isu Penyeludupan Manusia dan Pemerdagangan Orang di sini hari in

Hishammuddin berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan secara terperinci mengenai trend penyeludupan manusia, cabaran utama yang dihadapi serta turut meneliti pendekatan untuk mengesan kegiatan penyeludupan manusia.

Selain itu, katanya perbincangan mengenai tindakan undang-undang yang membabitkan usaha pendakwaan dan urusan ekstradisi turut diadakan.

"Segala usaha yang dilaksanakan ini adalah menjurus kepada usaha berterusan pihak berkuasa kedua-dua negara untuk menangani permasalahan itu," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan apa yang dicapai pada mesyuarat dua hari itu berjaya dilaksanakan, kemungkinan satu memorandum persefahaman antara kedua-dua negara akan ditandatangani pada Februari tahun depan. - Bernama

(Berita ini diambilo dari Berita Harian Online, 27 Ogos 2009)


***********


Jangan timbulkan sensasi – PM

  • PERDANA Menteri ingatkan semua pemimpin masyarakat dan media di negara ini supaya tidak menimbulkan unsur sensasi terhadap isu-isu yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.
  • Ingatan ini adalah untuk semua media cetak dan elektronik baik surat khabar berbahasa Melayu mahupun Cina. Ini demi kesejahteraan

    dan keamanan negara.

    PUTRAJAYA 26 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan semua pemimpin masyarakat dan media di negara ini supaya tidak menimbulkan unsur sensasi terhadap isu-isu yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.

    Ingatan Perdana Menteri itu dibuat ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini pagi ini.

    Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Perdana Menteri membangkitkan perkara itu kerana ketara masyarakat ketika ini terlalu banyak dihidangkan atau membicarakan isu-isu yang tidak menguntungkan.

    Serentak itu, kata beliau, kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan memainkan peranan sebagai orang tengah, berurusan dengan pihak media agar tidak ada unsur keterlaluan untuk mensensasikan sesuatu isu atau kes tertentu.

    “Contohnya dalam bulan-bulan kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan laporan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sehingga ini tidak ada apa-apa (perkembangan). Namun, disebabkan berita ini telah disensasikan, maka ia sendirinya mencetuskan kontroversi dalam masyarakat.

    “Ingatan ini adalah untuk semua media cetak dan elektronik baik surat khabar berbahasa Melayu mahupun Cina. Ini demi kesejahteraan dan keamanan negara, juga untuk mengekalkan suasana harmoni sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

    Dalam pada itu, Rais berkata, sambutan Kemerdekaan Ke-52 negara akan diadakan di pekarangan bangunan Parlimen secara kecil-kecilan tanpa melibatkan penyertaan kanak- kanak.

    “Ini kerana ibu bapa telah menzahirkan keresahan jika diadakan di stadium, ia boleh mengundang jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1),” kata beliau.

  • -----------------

    Kes Kartika: Tukang sebat syariah dicari

    KUALA LUMPUR 26 Ogos - Jabatan Penjara diminta menyediakan tukang sebat syariah yang berpengalaman dan berkemahiran bagi melaksanakan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, selepas Ramadan ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hukuman ke atas Kartika Sari Dewi kekal dan akan dilaksanakan selepas bulan puasa ini seandainya model sambilan tersebut enggan merayu.

    "Sekiranya tidak ada rayuan, kita akan teruskan (hukuman). (Bagaimanapun) Kita menghormati kemuliaan Ramadan. Pihak penjara kena bersiap sedialah sebelum penghujung Ramadan ini," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tertutup di antara Malaysia dan Australia untuk membincangkan masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia di sini hari ini.

    Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan turut disertai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

    Turut serta wakil-wakil daripada agensi penguat kuasa maritim, pejabat Peguam Negara, Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara.

    Delegasi Australia pula diketuai oleh Penasihat Keselamatan Negara kepada Perdana Menteri Australia, Duncan Lewis.

    Antara agenda perbincangan ialah laporan kedudukan penyeludupan manusia, kerjasama pengawasan dan pengurusan pelarian.

    Dalam pada itu, Hishammuddin menolak andaian bahawa Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat bertauliah sebaliknya ia berlaku disebabkan kes berkenaan adalah pertama kali di negara ini.

    "Sebenarnya bukan mereka (tukang sebat) tidak bertauliah, cuma mereka tak berpengalaman kerana ia adalah kes pertama," ujarnya lagi.

    Beliau berkata, kes yang kini menjadi perhatian dunia itu perlu ditangani sebaiknya dan pihak kementerian dan Jabatan Penjara akan melakukan yang terbaik.

    Kartika Sari Dewi yang sepatutnya menjalani hukuman sebat di Penjara Kajang kelmarin dimaklumkan terpaksa ditangguhkan atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus kerana menghormati kemuliaan Ramadan.

    Model yang mempunyai seorang anak itu dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan Cherating, dua tahun lalu.

    (Berita ini diambil dari Utusan Online, 27 Ogos 2009)


    ***** *****


    Jangan gopoh laksana hukuman sebat - Presiden PAS

    Zulkifli Sulong
    KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga memberi gambaran salah terhadap syariat Islam.

    "Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

    "Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.

    Dalam masa yang sama "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun," kata beliau.

    Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan.

    Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.

    "Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam," katanya.

    ImageMengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

    Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

    Sebatan juga, menurut beliau, tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

    "Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

    "Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan," katanya.

    Bagi beliau, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

    Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

    "Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya � kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

    Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 � 80 rotan jumlahnya, kata beliau.

    Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat � samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

    Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya � adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi .

    -----------------


    Sultan perkenan Radzhi gugur, Lim Soo Nee ganti
    Abdul Aziz Mustafa
    ALOR SETAR, 26 Ogos: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, digugurkan daripada jawatan Exco berkuatkuasa Selasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

    "Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan Exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, Rabu.

    Menurut beliau lagi, Sultan Kedah turut memperkenankan pelantikan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan Exco yang kosong itu manakala majlis angkat sumpah akan diadakan minggu depan.

    Mohd Radzhi sebelum ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

    Berikutan tindakan itu, Azizan menghadap Sultan Kedah bagi menyerahkan surat memohon perkenan supaya Mohd Radzhi yang mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas digugurkan daripada jawatan Exco.

    Tindakan itu dibuat berikutan Mohd. Radzhi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri bukan lagi mewakili komponen Pakatan Rakyat (PR).

    Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya menyifatkan tindakan Mohd Radzhi itu tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

    Mohd Radzhi sering dihebohkan dengan dakwaan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).

    Ketika menjadi Exco pula, dalam keadaan disifatkan sebagai gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkian beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

    (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 27 Ogos 2009)

    ***** *****


    SPRM dedah penglibatan Teoh Beng Hock dalam kelulusan projek palsu

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mendedahkan kegiatan empat syarikat Bumiputera yang meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu untuk menjalankan projek yang tidak wujud yang mendapat kelulusan Teoh Beng Hock dan anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

    Pegawai penyiasat SPRM Selangor, Mohd Anuar Ismail, dalam keterangannya pada inkues kematian Teoh di Shah Alam berkata demikian berdasarkan empat keping invois yang diperoleh dan dicetak daripada komputer riba Teoh semasa dia disoal siasat di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai lepas.

    "Pegawai penyiasat telah melakukan siasatan terhadap empat dokumen ini dan menunjukkan keempat-empat syarikat ini telah meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu dan telah menerima komisen (kerana meminjamkan kepala surat)," kata Mohd Anuar ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-16 prosiding itu.

    Ketika ditanya oleh peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, saksi itu menamakan keempat-empat syarikat tersebut sebagai Syarikat Fizami Construction, Aris Enterprise, MKMN Enterprise dan M A Bina Melor Enterprise.

    "Berdasarkan siasatan SPRM, syarikat Fizami telah memperolehi 26 projek bernilai RM147,812, syarikat Aris mendapat 14 projek bernilai RM88,275.30, syarikat MKMN dengan enam projek bernilai RM50,765 dan M A Bina Melor memperolehi tujuh projek dengan nilai RM69,010.

    "Semua projek ini akhirnya pergi kepada Teoh dan Ean untuk tujuan kelulusan," kata Mohd Anuar.

    Teoh adalah setiausaha politik Ean yang juga Anggota Exco Kerajaan Selangor.

    Bernama melaporkan Mohd Anuar, berkata melalui penyiasatannya, beliau mendapati kegiatan serupa yang dilakukan oleh tujuh syarikat lain, serta beberapa bukti sokongan yang menunjukkan berlakunya penyelewengan wang peruntukan Adun Selangor dalam projek palsu itu.

    Bagaimanapun pendedahan mengenai penglibatan tujuh syarikat itu dibantah oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, dengan alasan ianya telah terkeluar daripada skop prosiding inkues yang hanya membenarkan invois empat syarikat terdahulu dikemukakan.

    Gobind kemudian mencabar SPRM membekalkannya semua dokumen berkaitan bagi membolehkan pihaknya menjawab dakwaan itu.

    "Semalam kita telah diberitahu secara jelas bahawa soalan-soalan yang akan dikemukakan hanya menjurus kepada empat invois itu sahaja.

    "Apa yang berlaku hari ini seolah-olah SPRM hendak mendedahkan semua bukti siasatan mereka. Saya mahukan perintah mahkamah sekarang untuk menangguhkan prosiding ini supaya kami dibekalkan semua dokumen dan jadikan prosiding inkues ini sebagai perbicaraan rasuah Teoh Beng Hock," katanya.

    Abdul Razak membalas: "Inilah yang saya katakan relevan untuk menunjukkan keadaan fikiran si mati setelah beliau ditunjukkan dokumen berkaitan.

    "Kita tak ambil kesempatan untuk burukkan si mati. Kita bukan buat kejutan, ini berdasarkan dokumen yang menunjukkan ada syarikat tak buat kerja. Pada saya ia adalah relevan."

    Tan Hock Chuan, peguam bagi kerajaan, pula berkata: "Ini adalah prosiding inkues, oleh itu hanya perkara-perkara yang relevan untuk membantu koroner bagi menentukan kematian Teoh sahaja yang patut dibenarkan."

    Mengenai isu ini, Koroner Azmil Muntapha Abas, kemudian memutuskan supaya dokumen yang mendedahkan penglibatan tujuh syarikat lain itu tidak dibenarkan untuk dirujuk dan segala keterangan mengenainya oleh saksi dipadamkan daripada rekod mahkamah dan tidak dilaporkan oleh pihak media.

    "Bagi tujuan inkues, saya berpendapat adalah relevan untuk membawa masuk bukti yang menunjukkan keadaan fikiran si mati, tetapi skop hanyalah kepada dokumen rakaman percakapan si mati dan eksibit berkaitan.

    "Untuk hari ini, apa-apa yang melampaui skop tersebut adalah terpadam dari rekod mahkamah," kata Azmil.

    Peguam Salim Bashir, bagi Ean, yang meneruskan sesi soal balas itu kemudian bertanya kepada Mohd Anuar mengenai projek yang didakwa tidak wujud itu dengan mengemukakan dokumen mengandungi beberapa keping gambar kerja-kerja pembinaan yang sedang dilakukan.

    Salim : "Setuju berdasarkan kepada gambar ini, kerja-kerja pembinaan telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit?"

    Mohd Anuar : "Setuju."

    Saksi itu juga mengakui Teoh tidak pernah membuat pengakuan bahawa dia dan Ean telah melakukan penyelewengan ketika percakapannya dirakam pegawai SPRM.

    Mohd Anuar juga berkata Teoh telah menjawab semua soalan yang ditanya oleh pihak SPRM semasa disoal siasat tetapi hanya secara asas sahaja dan tidak menjawab soalan secara terperinci.

    Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu.

    (Berita ini diambil dari Agenda Daily, 27 Ogos 200)


    ***** *****


    Prof Dr Ismail Salleh meninggal dunia

    KUALA LUMPUR - Pakar Ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.


    Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira jam 8 pagi. Hospital itu kini dalam proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.


    Allahyarham Dr Ismail, 61, mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.


    Beliau juga ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

    Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings, dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.


    Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian antaranya anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.
    (Berita ini diambil dari Bernama, 27 Ogos 2009)









    No response to “BERITA”

    Post a Comment