Perkukuh perpaduan
DOA: Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaminkan doa solat Maghrib pada majlis berbuka puasa dan Majlis Kesyukuran Merdeka sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-52 di Masjid Negara, malam tadi. - Foto Bernama |
Perdana Menteri berkata, masa yang berlalu menyaksikan jambatan yang dibina oleh pejuang terdahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh.
Apa yang penting, kata Najib, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.
"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada.
Hari Kebangsaan ke-52 hari ini disambut dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan.
Najib mengingatkan semua pihak, terutama generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu saja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.
"Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda," katanya.
Najib berkata, setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia dan yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan bekerja keras dan keberanian mengambil risiko.
Menyingkap kembali sejarah selepas merdeka, Najib berkata, dengan pengalaman sendiri begitu singkat dan berlatarbelakangkan pemberontakan komunis yang belum reda, kewujudan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang meluas dan ditambah dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak ketika itu meramalkan Malaysia ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.
Namun, katanya, negara membuktikan bahawa ramalan itu meleset sama sekali kerana dalam tempoh lima dekad merdeka, Malaysia berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju.
Malah, katanya, Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama, hanya dalam tempoh masa amat singkat, iaitu dua generasi saja.
Perdana Menteri berkata, formula rahsia yang mendasari kejayaan ini adalah tidak lain dan tidak bukan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan, "bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan".
Najib berkata, sepanjang lebih 50 tahun ini, rakyat dan negara menempuhi pelbagai peristiwa, suka mahupun duka, tetapi semuanya dilalui dengan jayanya.
"Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosio ekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80an dan krisis kewangan Asia hujung 90an. Semuanya kita tempuhi dan semuanya kita redahi dengan jaya," katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan baru.
Lantaran itu, katanya, untuk menentukan hari esok yang lebih baik dari hari ini, pentadbirannya memperkenalkan dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju, antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan.
"Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara," katanya.
Dalam perutusannya, Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menyuburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.
Beliau turut mengajak rakyat agar merealisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.
"Marilah pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua," katanya.
Arak kepala lembu, NGO Melayu cemar imej agama sendiri
Oleh Mohd Nor Yahya Sun | Aug 30, 09 | 4:55:19 pm MYT | |
KUBANG KERIAN, 30 Ogos: Tindakan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu dan memijaknya di hadapan bagunan SUK Selangor dua hari lalu telah mencemarkan imej penganut dan agama Islam itu sendiri.
Akibat tindakan segelintir pihak itu, seluruh penganut Islam terpalit sama dan boleh dipandang serong. Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS negeri Kelantan Ustaz Muhammad Mustafa berkata, selain menyinggung perasaan penganut agama hindu, tindakan di luar ajaran Islam itu juga mampu mencetuskan ketegangan kaum. "Apakah dengan membuat demonstrasi membawa kepala lembu tersebut satu cara penyelesaian? Ini akan menyinggung perasaan penganut agama Hindu yang mereka menganggapkan lembu sebagai seekor binatang suci. Islam tidak menyuruh kita menyinggung perasaan penganut agama lain," ujar Adun Demit tersebut. Beliau yang hairan dengan sikap pihak tersebut yang mendakwa mereka juga Islam, namun bertindak jauh melampaui batas dan tunjuk ajar agama dan sering kali menjadi dalang kepada perpecahan Islam dan perpaduan kaum. Beliau yakin tindakan itu dilakukan kerana kurangnya kepada kefahaman agama islam itu sendiri. "Mereka ini cuba menunjuk hero apabila mencanangkan merekalah pembela agama tetapi langkah membawa kepala lembu yang diletakkan di pejabat SUK Selangor adalah perbuatan yang tidak bertanggung jawab dan memalukan umat Islam di negara ini," ujarnya lagi. Beliau yakin tindakan tersebut bermotif politik melihat kepada beberapa serangan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor khususnya dalam perkara membabitkan sensitiviti agama Islam. Sebelum ini Selangor diserang dengan isu "kandang babi moden" yang ingin diperkenal kerajaan Selangor bagi mengatasi beberapa masalah berkaitan akibat sistem penternakan babi tradisional yang diamal sekarang. Tidak cukup dengan itu, kerajaan Pakatan Rakyat itu juga diserang dengan isu 'penjualan arak' yang didakwa tidak sensitif terhadap ummat Islam negeri. Jika diperhatikan, dalam kedua dua isu tersebut, kerajaan Pakatan Selangor sebenarnya tampil dengan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dibina zaman pemerintahan kerajaan BN dahulu lagi. Namun sebarang usaha penyelesaian itu pula telah dipolitikkan. Selangor juga pada waktu ini sedang berdepan pelbagai lagi serangan, khususnya terhadap Menteri Besar dan exco DAP negeri itu. Mengulas perkara itu Muhammad berkata, Pakatan negeri itu perlu bersedia kerana BN tidak akan berdiam diri untuk menjatuhkan Selangor seperti yang dilakukan kepada kerajaan Kelantan sejak dulu. "Kalau dulu mereka sering menyerang negeri Kelantan dalam pelbagai isu yang juga melibatkan pelbagai kaum, namun Alhamdullillah sehingga kini kerajaan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat bertahan dan kaum-kaum lain dapat hidup aman dan mereka juga tidak dinafikan tempat-tempat ibadat mereka," ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada Armalah (ubu tunggal) dan Anak Yatim di DUN Demit. Seramai 400 golongan Armalah dan Anak Yatim dalam DUN itu menerima sumbangan kerajaan negeri Kelantan bagi menghadapi bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi. Mereka diberikan sejumlah RM200 setiap orang dan melibatkan keseluruhan RM80 ribu. Peruntukan ini dikeluarkan setiap tahun kepada seluruh DUN di Kelantan dan mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan. Jumaat lalu kira-kira 50 orang Melayu dari beberpa NGO mengarak kepala lembu dari Masjid Negeri menuju ke pejabat Menteri Besar sebagai bantahan terhadap cadangan memindahkan sebuah kuil di syeksyen 23 Shah Alam. Media hari ini melaporkan pihak polis sedang membuat siasatan terhadap kes ini dan akan menggunakan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 dan Akta Hasutan ke atas mereka yang terlibat dalam perarakan berkenaan. Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pada itu kesal dengan tindakan NGO tersebut seolah olah tidak menghormati suasana Ramadhan dan juga suasana menyambut hari Kemerdekaan. (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 31 Ogos 2009) |
No response to “BERITA”
Post a Comment