BERITA

Haramkan jualan arak di kawasan penduduk Islam - Hasan Ali
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - PAS Selangor mahu segala jenis minuman arak yang diharamkan penjualan dan pembeliannya melalui Enakmen Jenayah Syariah tidak lagi dijual di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Dr Hasan Mohd Ali dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily memaklumkan bahawa isu jualan arak ini diharapkan tidak lagi dijadikan kontroversi dan diputar-belitkan oleh mana-mana pihak samada individu atau mereka yang mewakili pertubuhan termasuklah pihak Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Dalam hal ini melalui satu Mesyuarat Khas Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Ahad lepas, PAS Selangor telah menyambut baik segala maklum balas dan pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak khasnya dari kalangan masyarakat Melayu/ Islam di negeri ini berhubung isu tersebut.

"PAS merakamkan ucapan ribuan terima kasih serta sangat menghargai segala bentuk sokongan dan galakkan serta pandangan yang positif yang telah mereka tunjukkan itu yang mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap isu ini,"jelasnya.

Selain itu, dalam perkembangan lain beliau menegaskan bahawa PAS tidak pernah menyarankan kepada ahli-ahlinya untuk menganjurkan sebarang 'road show' bersama dengan Umno/BN kerana PAS Selangor yakin yang ia memiliki kekuatan sendiri untuk membawa dan mempertahankan isu ini.

Beliau juga menegaskan bahawa tuntutan itu bukannya ke arah 'total ban' atau larangan menyeluruh ke atas penjualannya seluruh Selangor tetapi sebaliknya hanya di kawasan majoriti Melayu/Islam sahaja demi membentuk sebuah masyarakat yang sihat dari gejala buruk akibat peminuman arak ini.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa PAS Selangor tidak pernah sekali-kali menuntut agar YB Exco Kerajaan Tempatan Selangor,Ronnie Liu digugurkan dari barisan Exco kerajaan negeri. Sebaliknya apa yang dituntut adalah perubahan jawatan itu dari penyandangnya kepada YAB Dato� Menteri Besar sendiri atau mana-mana EXCO lain yang Menteri Besar fikirkan sesuai.

"Selain itu PAS Selangor kini sedang meneliti cadangan yang diberikan oleh YAB Menteri Besar berhubung kawalan kendiri atau 'self regulation' terhadap penjualan arak ini dan memohon agar Menteri Besar memberikan penerangan lanjut berhubung kaedah kawalan beliau itu beserta mekanismanya.

"Jika dalam tempoh sebulan ini kaedah tersebut didapati gagal atau tidak berjaya maka PAS Selangor akan mengemukakan cadangan-cadangan yang difikirkannya wajar untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah ini,"tegasnya.

------------------

Ali Rustam dicabar kuatkuasa pengharaman arak
Zaili Muhammad

MELAKA, 11 Ogos (Hrkh) - Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam digesa menguatkuasakan dengan segera undang-undang pengharaman arak di Melaka bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar merupakan seorang pemimpin yang prihatin terhadap agama Islam, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

"Jika dia juga seorang pemimpin yang menghormati budaya Melayu dan agama Islam, kenapa dia sendiri tidak melaksanakan undang-undang pengharaman penjualan arak di negeri ini terlebih dahulu.

"Jika langkah itu tidak dilaksanakan di semua peringkat negeri, memadai ia dibuat di peringkat daerah demi membuktikan beliau benar-benar seorang pemimpin yang prihatin dengan umat dan agama Islam," kata beliau.

Beliau mencabar Ali Rustam melaksanakan pengharaman arak di negeri Melaka berikutan cabaran yang dibuat oleh Ketua Menteri itu supaya PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat kerana isu yang membabitkan penjualan arak di Selangor baru-baru ini.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang mempunyai sokongan majoriti di negeri ini dan dia berhak serta mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.

"Jika tidak berani melaksanakannya, lebih elok dia tidak membuat sebarang komen atau mencabar PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat, jangan campur hal rumahtangga orang lain," katanya.

Sebelum ini, Ali Rustam mengeluarkan kenyataan mencabar PAS Selangor supaya keluar dari Pakatan Rakyat berikutan kemelut yang melanda dengan isu penjualan arak di Selangor tetapi pada masa yang sama beliau hanya memejamkan mata sahaja terhadap lambakan penjualan arak di Melaka terutamanya di Melaka Raya.

--------------------

Siapa pengkhianat sebenar bangsa, negara?
Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara? Benarkah pengkhianat sedemikian wujud atau sekadar dongengan Umno-BN untuk meraih simpati murahan daripada rakyat?

Persoalan pengkhianat bangsa dan negara bukan kali pertama diutarakan. Malah jika dilihat,ungkapan sedemikian seringkali menjelma terutama dalam menghadapi detik-detik pilihan raya atau negara sedang dilanda pelbagai isu yang hangat.

"Rakyat tidak pernah lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen,"tegas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam blog peribadinya.

Beliau yang mengulas isu khianat sebelum itu menjelaskan siri program yang dihadirinya semalam.

"Saya tiba sekitar jam 5.00 petang di Felda Neram Satu. Acara tersebut disusun khas bagi mendekati masyarakat Felda serta menerangkan keutuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat dan khususnya jalur perjuangan Parti Keadilan Rakyat.

"Ditekankan keutamaan dasar yang dilakar demi kesejahteraan rakyat semua, dan bukannya hanya untuk memenuhi nafsu tembolok tauke-tauke kaya serta sesegelintir bangsawan politik semata.

"Turut disentuh kejayaan negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah kendati pun berhadapan serangan bertali arus aparat umno-BN,"jelasnya.

Beliau juga menerangkan bagaimana program menjamin kebajikan rakyat seumpama pemberian air percuma, tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas yang dilaksanakan di Kelantan mahupun Selangor.

"Tidak ketinggalan, saya menegaskan pentadbiran di semua negeri Pakatan Rakyat yang berlandaskan kebolehan, pertanggungjawaban dan ketelusan. Semua dasar tersebut terbukti mesra pelabur, apatah lagi ketika mengalami kemurungan, mereka tentunya mahukan pengurusan ekonomi terbaik dan beramanah.

"Program seterusnya adalah ceramah bersama Dato' Chua Jui Meng di Bandar Chukai dan kemudiannya ceramah perdana di Kerteh bersama Saifuddin Nasution, Ustaz Harun Taib serta Abdul Rahman Yusuf. Lanjutan mengungkapkan dasar pemerintahan yang beramanah, saya lontarkan pula lawan dari makna amanah itu; perbuatan khianat.

"Sudah tentu isu khianat digembar gemburkan hanya dengan dengan satu tujuan, iaitu untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menjadikan saya sebagai sasaran. Sungguh tidak sangka jentera propaganda sanggup berbuat apa sahaja apabila terdesak hatta cuba memperbodohkan rakyat. Namun saya senantiasa yakin dengan kemampuan rakyat membuat penilaian dan pertimbangan.

"Rakyat sedar siapa yang sebenar-benarnya mengkhianati amanah nusa dan harapan rakyat negara ini. Mereka sudah tentu tidak lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen. Itu semua dilakukan hanya demi kepentingan sendiri,"tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mendakwa ada individu-individu yang sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.

"Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan Umno) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

(Berita - berita ini diambil dari Harakah Daily, 12 Ogos 2009)


***** *****

Plaza Ipoh Utara catat nahas kedua

IPOH: Plaza Tol Ipoh Utara yang lebih setahun dibuka bagi menggantikan 'plaza maut' di Jelapang, mencatat kemalangan kedua semalam apabila sebuah lori melanggar kereta Perodua Kenari sebelum merempuh pondok kutipan tol dan terbabas ke arah penghadang besi pejabat plaza tol.

Dalam kejadian jam 3.28 petang itu, lori yang membawa muatan batu dari Pulau Pinang dikatakan hilang kawalan lalu melanggar Perodua Kenari yang berhenti untuk membayar tol.

Pemandu kereta itu, Heng Su Kiang, 30, berkata ketika kejadian dia berhenti di salah sebuah pondok kutipan tol apabila tiba-tiba dilanggar dari belakang.

"Lori muncul secara tiba-tiba dan hilang kawalan lalu melanggar kereta saya menyebabkan ia berpusing dua kali. Lori itu kemudian merempuh pondok tol.

"Bagaimanapun, pada waktu itu tiada pekerja di dalam pondok kutipan tol terbabit jika tidak berkemungkinan perkara yang lebih buruk akan terjadi," katanya yang masih dalam keadaan terkejut.

Heng dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh atas urusan kerja turut cedera di tangan dan leher kanan namun tidak begitu serius.

--------------------

Rela duduk wad

Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my


ANAKANDA Tengku Puan Pahang (dari kiri), Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima rawatan di wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Tengku Puan Pahang tak mahu penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dijangkiti Influenza A (H1N1) bersama lima anaknya, rela ditahan di wad dan tidak dikunjungi suami serta pelawat kerana tidak mahu wabak itu menjangkiti orang lain.

Tunku Azizah berkata, baginda tidak berkecil hati kerana terpaksa tinggal dalam wad pengasingan bersama anak-anak, malah turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) melarang Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat selepas kembali dari London, petang semalam.
"Saya bersyukur kerana rawatan yang diberikan doktor berjaya mengurangkan kesakitan, tetapi kami perlu ditahan di wad sehingga pulih sepenuhnya. Biarlah kami saja di sini bersama doktor dan jururawat sebab saya tidak mahu penyakit ini berjangkit kepada orang lain.

"Ketika sakit seperti ini, semestinya saya mengharapkan kehadiran suami dan anak-anak memerlukan bapa di sisi, tetapi saya tidak berkecil hati jika Tengku Mahkota tidak dapat bersama kerana kesihatan baginda lebih utama," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Lima anak baginda - Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, dan Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, dimasukkan ke wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Jumaat lalu.

Tengku Puan pula disahkan menghidap H1N1 sehari selepas itu. Baginda dan Tengku Mahkota sebelum itu berada di London bagi menyaksikan perbarisan tamat latihan anak sulung mereka, Tengku Amir Nasser Ibrahim di Royal Military Academy, Sandhurst, tetapi terpaksa pulang awal, Sabtu lalu, bagi menemani lima anak baginda di HTAA.

Menceritakan saat cemas apabila dimaklumkan lima anak baginda dijangkiti H1N1, Tengku Puan berkata:
"Saya menangis apabila diberitahu lima anak di Kuantan menghidap H1N1, terutama apabila mengenangkan seorang daripada mereka mengalami asma yang mungkin menerima risiko tinggi akibat penyakit maut itu, sedangkan ketika itu saya dan suami berada di London.
"Memang sukar menerima kenyataan yang akhirnya anak saya turut menjadi mangsa, terutama apabila mengetahui H1N1 boleh menyebabkan kematian jika penghidapnya mengalami penyakit seperti asma dan radang paru-paru.

"Saya tidak henti berdoa semoga semua anak selamat dan sepanjang dalam penerbangan pulang ke Malaysia, fikiran saya berkecamuk memikirkan nasib mereka," katanya.
Tengku Puan berkata, baginda bergegas pulang untuk memberi sokongan moral dan menenangkan lima anaknya yang ketika itu sangat lemah akibat jangkitan H1N1.
"Tengku Mahkota yang terkejut dengan berita itu menawarkan diri untuk pulang, tetapi saya melarang kerana baginda turut mengidap asma dan berisiko tinggi jika dijangkiti H1N1. Sebaik sampai di Kuantan, saya terus melawat anak di HTAA dan keadaan mereka ketika itu sangat lemah, muntah dan tidak berselera makan.
"Apabila tidur malam, mereka meracau kerana bermimpi yang bukan bukan. Paling membimbangkan, suhu badan mereka tinggi sehingga mencecah 40 darjah selsius. Akibat berada di sisi mereka, saya akhirnya turut dijangkiti H1N1 dan wad ini tidak boleh dikunjungi orang ramai," katanya.
Mengenai keadaan baginda dan anak-anaknya, Tengku Puan bersyukur kerana suhu badan mereka sudah menurun selepas diberikan antiviral, Tamiflu.
"Cuma Tengku Hassanal yang masih panas badannya, tetapi keadaan semua anak, termasuk Tengku Ahmad Ismail yang menghidap asma, sudah semakin stabil walaupun mereka belum berselera makan," katanya.
Mengumpamakan diri baginda dan anak-anak bagaikan makhluk asing disebabkan semua doktor dan jururawat perlu memakai pakaian khas daripada kaki hingga ke kepala ketika merawat mereka, Tengku Puan berkata, pengalaman dilaluinya kali ini sungguh mencabar kerana lima anak dan dirinya diserang sakit serentak.
"Saya bagaikan hilang arah kerana H1N1 bukan penyakit biasa, sebaliknya banyak kematian dilaporkan di negara kita. Ketika itu, perasaan pilu melanda kerana terbayang sukarnya saya mendapatkan cahaya mata, tetapi kini semua mereka diserang penyakit maut itu," katanya.
Tengku Puan berkata, seorang daripada pengasuh anaknya turut dijangkiti H1N1 dan dirawat di hospital sama, manakala tujuh lagi dikuarantin di rumah selepas mendapat tanda diserang penyakit berkenaan.
"Ketika mula dijangkiti H1N1, saya menghubungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memaklumkan keadaan kami dan setiap hari, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menelefon untuk bertanyakan perkembangan kesihatan kami.
"Saya juga bimbang kerana adik, Tunku Mariam yang turut menghidap asma dan anaknya, yang membantu menjaga lima anak saya sementara menunggu ketibaan saya ke HTAA, kini sakit dan mempunyai simpton H1N1 dan mereka sudah menjalani pemeriksaan di Kuala Lumpur tetapi belum mendapat keputusan lagi," katanya.
Tengku Puan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak bersikap lewa dan menganggap H1N1 seolah-olah tidak berbahaya dengan membawa anak ke tempat awam yang dikunjungi ramai.
"Malah, pada ketika Kuantan dilanda wabak ini, masih banyak pihak yang menganjurkan pesta keraian.
"Sepatutnya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan termasuk memakai topeng muka dan selalu mencuci tangan. Paling menyedihkan, sekolah masih terus dibuka walaupun ramai murid yang sakit.
"Guru hanya mengarahkan mereka pulang, sedangkan langkah paling tepat yang patut diambil ialah menutup sekolah bagi menghalang wabak penyakit itu menular," katanya.

(Berita - berita ini diambil dari Berita Harian On line, 12 Ogos 2009)


***** ******


6 lagi kematian akibat H1N1

KUALA LUMPUR - Jumlah kematian akibat Influenza A (H1N1) meningkat kepada 38 orang apabila 6 lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, jumlah kes juga meningkat kepada 2,253 kes dengan 270 kes baru dilaporkan yang merupakan kes jangkitan tempatan.

Menurutnya, pada ketika ini sejumlah 48 pesakit sedang dirawat di hospital, manakala 11 kes lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat pesakit tersebut mempunyai faktor risiko penyakit kronik obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan asma.

Di peringkat global katanya, H1N1 telah mengorbankan 1,716 orang dengan 208,998 jumlah kes dilaporkan.

“H1N1 semakin serius, penularannya begitu cepat dan orang ramai diminta mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan dan bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko mendapat komplikasi segera mendapatkan rawatan.

“Manakala orang ramai yang mengalami simptom seperti batuk, demam diharapkan duduk di rumah. Sekiranya perlu keluar, digalakkan memakai topeng muka,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal Kencing Manis Melitus Tahap 2, di Hospital Putrajaya, semalam.

Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai simptom H1N1 seperti batuk, selesema, demam, tidak perlu menunggu lama sebaliknya perlu mendapatkan rawatan segera.

-----------------------------


Anwar kesal serangan peribadi Muhyiddin

PETALING JAYA - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memilih cara berpolitik menggunakan serangan secara peribadi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau tidak berhasrat untuk terjebak di dalam pertikaian peribadi dengan Muhyiddin sebaliknya akan berhujah dari sudut dasar sahaja.

“Ramai mahu saya serang balas (Muhyiddin). Tetapi saya rasa masih tidak perlu berbuat begitu untuk masa sekarang, saya akan menjelaskan isu-isu pokok yang perlu dijawab oleh mereka (Barisan Nasional),” katanya kepada media di ibu pejabat PKR di sini, semalam.

Anwar berkata, Muhyiddin semestinya mengetahui bahawa terdapat di kalangan mereka yang tidak selesa seterusnya menimbulkan perasaan marah sekiranya isu tersebut dimainkan.

Mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin tersebut, Anwar berkata, pimpinan UMNO sengaja mencipta propaganda yang memanipulasi simbol-simbol tentang bangsa, agama dan raja dengan hasrat agar pemikiran rakyat kembali sempit dan mundur.

“Mereka telah mencuba puluhan kali sebelumnya. Usaha terbaru dengan menghebahkan isu pengkhianatan ini jelas menjadi petanda mereka kian terdesak.

“Kita mempunyai hujah-hujah yang jitu untuk menangani politik kebencian pimpinan UMNO yang memperolokkan simbol-simbol bangsa, agama dan raja semata-mata untuk mengekalkan kekuasaan dan menutup pekong rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Anwar berkata, pemimpin Pakatan Rakyat lain iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (PR) bersetuju menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu ketika ditanya mengapa isu tersebut digunakan ketika ini, Anwar berkata, UMNO sedang mengalami krisis sokongan rakyat selain mahu sokongan pada pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Sehubungan itu katanya, kerajaan harus bertanggungjawab terhadap keselamatannya jika sesuatu terjadi ekoran tindakan pemimpin dan penyokong parti itu terus-menerus melabelkannya pengkhianat bangsa Melayu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu desakan supaya Pas keluar dari PR tidak menjadi satu perkara yang besar kerana kenyataan tersebut dikeluar daripada Pemuda UMNO yang mahukan PR berpecah.

Anwar turut menafikan bahawa beliau telah membuat pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan isu semasa sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah blog.

(Berita ini dari Sinar Harian, 12 Ogos 2009)
















No response to “BERITA”

Post a Comment