BERITA

Permatang Pasir: Salleh Man lawan Rohaizad
Wartawan Harakahdaily
PERMATANG PASIR, 14 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh.

Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.

Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos.

Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.

Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan.

Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk �Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu� di Permatang Pasir.

Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim,

Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu. _

(Berita ini dari Harakah Daily, 15 Ogos 2009)

Rohaizat Othman BN vs Salleh Man PAS di Permatang Pasir



Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh,Rohaizat Othman,38 telah dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan negeri Permatang Pasir,Pulau Pinang.Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Command Centre BN di Jalan Permatang Ara,Permatang Pasir,petang Jumaat.Lebih 2,000 penyokong BN hadir di majlis itu.Sementara itu dalam satu majlis pada sebelah malam pula PAS umum Salleh Man (gambar bawah) yakni Persuruhjaya PAS Pulau Pinang sebagai calonnya.Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

-----------------------

Sendiri bikin hal….lain orang salah

Komen-komen di sebilangan laman web dan blog sudah menghentam sakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Malah ada yang guna perkataan ‘ bastard’ dan bahasa-bahasa kesat lain.Itu semua gara-gara laporan-laporan yang cuba mengambarkan seolah para pegawai SPRM bertindak kasar semasa cuba menahan pembantu khas kepada Exco Selangor, Ronnie Liu, Wong Chuan How untuk siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.Siapa saja yang menyaksikan kejadian pada pagi Jumaat di pusat perkhidmatan Sungai Pelek di Sepang tahu insiden itu tidak akan berlaku jika Wong yang juga ahli Majlis Perbandaran Sepang dan juga seorang kontraktor tidak bergelut dengan para pegawai SPRM yang hendak membawanya ke ibupejabat mereka di Putrajaya.Masalahnya di sini ialah kejadian kematian misteri Teoh Beng Huat hendak dijadikan lesen untuk mempertikaikan segala tindakan SPRM dalam menjalankan tugas mereka

(Berita ini dari Agenda Daily, 15 Ogos 2009)

===============================

Peguam lawan peniaga

Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my




  • Barisan Nasional pilih Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh
  • Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang dicalon pertahan kerusi DUN Permatang Pasir

    BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

    Pas pula menamakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang juga ahli perniagaan, Salleh Man, 52, sebagai calon parti itu.
    Pemilihan Rohaizat diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Permatang Pasir di Bukit Merah, Jalan Permatang Pauh di sini, semalam.

    Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang mengumumkan nama Salleh pada majlis khas di pusat khidmat Adun Permatang Pasir, di Bukit Mertajam, malam tadi.

    Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata Rohaizat yang juga peguam syarie, dipilih selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk perwatakan, hubungan dengan masyarakat serta sumbangannya kepada parti.

    Katanya, pemilihan Rohaizat diputuskan selepas merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika ini berada di luar negara.

    "Saya percaya Rohaizat adalah calon terbaik. Saya harap semua penduduk Permatang Pasir memberi sokongan kepadanya yang boleh menjadi wakil rakyat bagi membawa pembangunan di kawasan ini," katanya sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 1,000 penyokong BN.

    Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Pengerusi BN Negeri dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Pas, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Isnin ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 25 Ogos.

    Muhyiddin berkata, pemilihan Rohaizat adalah tepat kerana beliau mampu membantu rakyat dan membawa perubahan di kawasan Permatang Pasir.

    "Penduduk Permatang Pasir masih dahagakan pembangunan. Jika Manek Urai (Kelantan) dulu kita jadikan kawasan itu sebagai anak angkat, tetapi Permatang Pasir akan dijadikan anak emas kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, penduduk Permatang Pasir perlu memberi sokongan kepada BN yang terbukti mempunyai rekod cemerlang, bukan seperti Pakatan Rakyat yang menjadi satu pakatan rapuh.

    Beliau juga berkata, BN tidak menggadaikan masa depan rakyat semata-mata untuk kepentingan politik.

    "Masa depan tidak boleh dikorbankan hanya untuk kepentingan politik. Politik kita (BN) bukan untuk kepentingan peribadi tetapi bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya.

    Sementara itu, Salleh yang mendapat pendidikan di Universiti Malaya (UM) dalam Jurusan Pengajian Islam tidak pernah menang selepas bertanding dalam enam pilihan raya umum lalu.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, beliau yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor, tewas kepada calon BN, Datuk Dr Ibrahim Saad dengan majoriti 12,651 undi.

    Pada PRU 1999, beliau tewas kepada calon BN, Datuk Yahaya Abdul Hamid di DUN Pinang Tunggal, dengan majoriti 4,376 undi.

    Pada PRU 2004, Salleh sekali lagi bertanding bagi kerusi DUN Pinang Tunggal dan tewas kepada calon BN, Datuk Roslan Saidin dengan majoriti 6,288 undi.

    Pada pilihan raya umum lalu, Salleh tewas kepada Timbalan Ketua Umno bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed di kerusi DUN Sungai Dua dengan majoriti 535 undi.

    Abdul Hadi dalam ucapannya berkata, pihaknya menerima banyak calon yang sesuai untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil Permatang Pasir sebelum membuat keputusan memilih Salleh.

    "Saya berharap penyokong Pas memberi sokongan kepada calon kita untuk mendapat majoriti yang lebih besar," katanya.

    Salleh ketika berucap menyatakan penghargaan terhadap pucuk pimpinan parti yang memberikan kepercayaan terhadapnya untuk mengalas cabaran Pas bagi mempertahankan kubu kuatnya itu.

  • (Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 15 Ogos 2009


    ***** *****

    Beng Hock bunuh diri?

    SHAH ALAM 14 Ogos - Kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock lebih menjurus kepada mendiang membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam di sini.

    Kesimpulan itu dibuat oleh Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim, 51, setelah mendapati kecederaan yang dialami Beng Hock tidak menunjukkan sebarang kesan pergelutan yang jelas.

    Sebagai bukti, jelas beliau, tiada penemuan kesan darah, calar, barang-barang pecah atau bertaburan di tepi tingkap di tingkat 14 plaza tersebut.

    Tambahan pula katanya, sebatang pen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tersemat di poket baju mendiang dan sekiranya berlaku pergelutan, ia pasti akan tercampak.

    Lagipun, kata Khairul, analisis yang dijalankan oleh Jabatan Kimia mengesahkan tidak terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) pegawai-pegawai SPRM yang dikesan pada tubuh Beng Hock.

    Mengambil kira semua faktor tersebut, Khairul membuat kesimpulan, kecederaan yang dialami Beng Hock disebabkan kesan jatuh dan lebih menjurus kepada tindakan terjun dari tempat tinggi.

    ''Pada pendapat saya, Beng Hock terjun dan ia lebih kepada suicide (bunuh diri),'' kata Khairul ketika disoal oleh peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia pada inkues siasatan kematian Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini.

    Prosiding yang masuk hari kesembilan hari ini didengar oleh Koroner Azmil Muntapha Abas.

    Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.

    Kejadian berlaku selepas Beng Hock dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri di pejabat SPRM yang terletak di bangunan plaza tersebut.

    Terdahulu, Hock Chuan mahukan penjelasan mengenai kemungkinan dan cara mana seseorang itu akan mati dalam kes melibatkan orang jatuh dari tempat tinggi.

    Jawab saksi inkues ke-10 itu, terdapat tiga kemungkinan yang sering ditemui misalnya si mati terjatuh secara tidak sengaja, terjun dengan sendiri atau dengan perbuatan dirinya sendiri serta dicampak atau ditolak keluar (homisid).

    Namun Khairul berpendapat, tiada sebarang bukti kukuh wujudnya elemen homisid disebabkan tiada sebarang kecederaan dialami Beng Hock yang menjurus kepada unsur pergelutan.

    ''Bagi saya, belum terdapat bukti kukuh yang kuat untuk mengatakan si mati mengalami kemalangan. Ini kerana, sukar bagi seseorang yang dalam keadaan sedar untuk tergelincir ketika berdiri di tepi tingkap kerana kawasan tersebut tidak licin dan dilitupi karpet,'' kata Khairul.

    Bagaimanapun, katanya, kemungkinan itu masih boleh difikirkan lagi memandangkan ia boleh berlaku ketika mangsa cuba membuka tingkap dengan seluas-luasnya dalam keadaan mengantuk.

    Namun, jelas saksi, ia masih boleh dipertikaikan kerana sekiranya terjatuh atau tergelincir dalam keadaan bahu tingkap pada paras pinggang kemungkinan besar si mati akan mendarat (terhempas) dengan posisi lain iaitu kepala atau badan yang jatuh dahulu.

    Menjawab soalan lain, Khairul yang juga Ketua Jabatan Forensik HTAR memberitahu, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan, beliau tidak menemui tanda-tanda Beng Hock telah lemas atau tidak sedarkan diri ketika berada di tingkat 14.

    Terdahulu, Khairul yang sebelum ini tidak sihat dan masih terbatuk-batuk turut memberitahu, beliau tidak nampak tanda-tanda jelas yang menunjukkan Beng Hock telah diseret.

    Namun begitu, menurut pakar berkenaan, beliau ada ternampak kesan geseran pada tapak kasut kanan sebelah tepi yang masih dipakai oleh Beng Hock.

    ''Terdapat kesan geseran pada lantai berhampiran mayat dijumpai, ia seperti ada kesesuaian. Sehubungan itu, saya percaya kesan geseran pada tapak kasut Beng Hock dan lantai berhampiran mayatnya adalah tempat si mati mendarat ketika dia jatuh,'' kata Khairul.

    Dalam pada itu, saksi memberitahu, beliau turut tertanya-tanya dari mana datangnya DNA lelaki tidak dikenal pasti pada tali pinggang Beng Hock.

    Memandangkan tidak terdapat DNA pegawai polis, kakitangan SPRM dan saksi lain di tempat kejadian, maka Khairul percaya ia sebenarnya berpunca daripada pencemaran ketika proses menanggalkan baju Beng Hock di bilik mayat.

    (Berita ini diambil dari Utusan Online, 15 Ogos 2009)











    No response to “BERITA”

    Post a Comment