BERITA

KHAIRY JERUT LEHER SENDIRI!
Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) -Hujah yang menjerut leher sendiri! Umno terdesak! Demikian antara kenyataan yang boleh ditujukan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Kenyataan Khairy bahawa PAS wajar keluar daripada Pakatan Rakyat ternyata satu usaha terdesak dan Umno kini semakin kehilangan modal dalam menarik kembali sokongan rakyat.

"Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mempertegaskan bahawa Umno terlebih berhak dan wajar untuk keluar daripada BN dan menyertai PAS sebagai sebuah gerakan Islam jika sekiranya Umno benar-benar ikhlas mahu membela serta memelihara kesucian agama Islam,"tegas Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi hari ini.

Tambahnya, Pemuda PAS melihat desakan Khairy supaya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat jelas menunjukkan bahawa Umno sangat terdesak untuk menguasai kepercayaan rakyat dan pengaruh politik nasional.

"Pemuda PAS juga melihat hujah Khairy bahawa PAS terpingir dalam Pakatan Rakyat semata-mata kerana adun PAS di Pulau Pinang tidak diberi Jawatan exco lalu mengesa supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat adalah hujah yang menjerut leher beliau sendiri kerana Khairy Jamaludin sendiri selaku Ketua Pergerakan Pemuda Umno tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam kebinet Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Bukankah itu juga satu penghinaan dan satu penyisihan yang jelas dilakukan oleh Najib kepada Khairy sedangkan Naib beliau iaitu Dato' Razali Ibrahim dilantik Timbalan Menteri. Kenapa tidak pula Khairy Jamaludin keluar daripada Umno setelah jelas beliau disisih dan dihina oleh Presiden partinya sendiri,"bidas Ustaz Nasruddin.

Semalam Kahiry mencabar PAS keluar daripada pakatan pembangkang bagi menjaga maruah parti itu yang seolah-olah tidak dihargai oleh rakan gabungannya, DAP.

Beliau berkata, gabungan itu bukan sahaja tidak mempunyai semangat setiakawan yang tinggi seperti Barisan Nasional (BN), malahan tidak menghormati sumbangan PAS.

Tambahnya, contoh yang jelas berlaku di Pulau Pinang apabila satu-satunya wakil rakyat PAS yang memenangi pilihan raya umum lalu tidak mendapat sebarang tempat dalam barisan exco kerajaan negeri.

"Oleh kerana kita akan ada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir tidak lama lagi dan difahamkan PAS akan bertanding di situ, saya cabar PAS supaya menuntut jawatan exco daripada kerajaan negeri pimpinan DAP agar suara PAS didengari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Bukit Mertajam semalam.

Beliau berkata, jika mereka tidak diberikan tempat, sewajarnya parti itu menarik diri daripada gabungan itu untuk menjaga maruah.

"Saya bagi cabaran kepada PAS sekiranya kerajaan negeri DAP dan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak menghormati parti itu dengan tidak memberi jawatan sebagai exco, saya sarankan PAS keluar dari pakatan pembangkang di Pulau Pinang," katanya. - mks._


-----------------

SIAPA PENGKHIANAT SEBENAR BANGSA, NGARA?
Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara? Benarkah pengkhianat sedemikian wujud atau sekadar dongengan Umno-BN untuk meraih simpati murahan daripada rakyat?

Persoalan pengkhianat bangsa dan negara bukan kali pertama diutarakan. Malah jika dilihat,ungkapan sedemikian seringkali menjelma terutama dalam menghadapi detik-detik pilihan raya atau negara sedang dilanda pelbagai isu yang hangat.

"Rakyat tidak pernah lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen,"tegas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam blog peribadinya.

Beliau yang mengulas isu khianat sebelum itu menjelaskan siri program yang dihadirinya semalam.

"Saya tiba sekitar jam 5.00 petang di Felda Neram Satu. Acara tersebut disusun khas bagi mendekati masyarakat Felda serta menerangkan keutuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat dan khususnya jalur perjuangan Parti Keadilan Rakyat.

"Ditekankan keutamaan dasar yang dilakar demi kesejahteraan rakyat semua, dan bukannya hanya untuk memenuhi nafsu tembolok tauke-tauke kaya serta sesegelintir bangsawan politik semata.

"Turut disentuh kejayaan negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah kendati pun berhadapan serangan bertali arus aparat umno-BN,"jelasnya.

Beliau juga menerangkan bagaimana program menjamin kebajikan rakyat seumpama pemberian air percuma, tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas yang dilaksanakan di Kelantan mahupun Selangor.

"Tidak ketinggalan, saya menegaskan pentadbiran di semua negeri Pakatan Rakyat yang berlandaskan kebolehan, pertanggungjawaban dan ketelusan. Semua dasar tersebut terbukti mesra pelabur, apatah lagi ketika mengalami kemurungan, mereka tentunya mahukan pengurusan ekonomi terbaik dan beramanah.

"Program seterusnya adalah ceramah bersama Dato' Chua Jui Meng di Bandar Chukai dan kemudiannya ceramah perdana di Kerteh bersama Saifuddin Nasution, Ustaz Harun Taib serta Abdul Rahman Yusuf. Lanjutan mengungkapkan dasar pemerintahan yang beramanah, saya lontarkan pula lawan dari makna amanah itu; perbuatan khianat.

"Sudah tentu isu khianat digembar gemburkan hanya dengan dengan satu tujuan, iaitu untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menjadikan saya sebagai sasaran. Sungguh tidak sangka jentera propaganda sanggup berbuat apa sahaja apabila terdesak hatta cuba memperbodohkan rakyat. Namun saya senantiasa yakin dengan kemampuan rakyat membuat penilaian dan pertimbangan.

"Rakyat sedar siapa yang sebenar-benarnya mengkhianati amanah nusa dan harapan rakyat negara ini. Mereka sudah tentu tidak lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen. Itu semua dilakukan hanya demi kepentingan sendiri,"tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mendakwa ada individu-individu yang sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.

"Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan Umno) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.

(Berita ini dari Harakah Daily, 11 Ogos 2009)


***** ******


MENCARUTKAN ISLAM ... NAJIB ARAH POLIS SIASAT

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengarahkan polis untuk menyiasat ada blog dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang yang 'mencarutkan' Islam dalam komen mereka. Menurut beliau, dalam apa-apa pun keadaan, negara mempunyai undang-undang dalam salah satunya Akta Hasutan. "Harap pihak berkuasa siasat dan jika didapati ada kesalahan yang boleh disabitkan maka tindakan perlu diambil terhadap sesiapa pun yang menyebabkan perkara yang dikaitkan dengan hasutan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di PWTC hari Isnin. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah bloh yang menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda Kebangsaan DAPSY yang juga Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook mengkritik tulisan pendakwah bebas Dr Ridhuan Tee Abdullah dalam Minggu Malaysia yang menolak cadangan agar anak yang dikandung oleh tunang Teoh Beng Hock menggunakan nama keluarganya. Ekoran tulisan itu, Siew Fook menuntut Dr Ridhuan memohon maaf dan akhbar-akhbar Cina mengaitkan isu berkenaan sebagai isu perkauman. Malah dalam blog yang menyiarkan kenyataan Siew Fook, ada komen yang mencarutkan Islam. Menurut Najib, undang-undang seperti Akta Hasutan bukan hanya ditujukan kepada Islam sahaja tetapi untuk semua agama dan juga kaum dalam negara ini. "Kalau kita menghina sesiapa dan penghinaan itu boleh menyebabkan ketegangan kaum maka tindakan boleh diambil disisi undang-undang hasutan negara kita," ujar beliau.

KOMEN ISU MENCARUT ISLAM

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberi jaminan jika siasatan mendapati pihak tertentu bertanggungjawab mencarutkan Islam, tindakan tegas tetap akan diambil. Ditanya sejauh mana seriusnya tindakan akan diambil kerana selama ini beliau sering memberikan amaran beliau berkata "ini bukan amaran. Tindakan tegas akan diambil". Beliau juga meminta pihak polis segera menjalankan siasatan bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa penguatkuasaan tidak mampu bertindak tegas dalam isu berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihak yang mencarutkan Islam diingatkan 'jangan bermain dengan api. "Jika benar hal itu, pihak berkaitan mesti meminta maaf kepada umat Islam. Janji tidak ulangi atau sumbat sahaja menggunakan ISA," ujar beliau - 10/8/2009

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Datuk Mohamad Aziz menyokong tindakan tegas perlu diambil segera kepada mereka yang menghina Islam. "Jangan sampai orang Islam hilang akal dalam isu ini," ujar beliau. Katanya, jika selama ini umat Islam tidak bangkit apabila penghinaan itu dilakukan, ia bukan bermakna umat Islam menerima penghinaan tersebut. "Kita tidak mahu cetuskan suasana yang boleh jejaskan kestabilan. Namun tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu digunakan," katanya.

------------------


LAUNGAN 'ANWAR PENGKHIANAT' BERGEMA DI DEPAN MENARA DATO' ONN,PWTC...


Kira-kira 300 orang ahli 11 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan depan Menara Dato Onn, PWTC selama sejam mulai jam 10.45 pagi untuk menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa Melayu. Perhimpunan itu diadakan menjelang mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang berlangsung di ibupejabat UMNO yang terletak di menara itu. Sepanjang perhimpunan beberapa orang pemimpin NGO berucap mempertahankan kenyataan Muhyiddin itu. Mereka bersurai tidak lama lepas Timbalan Perdana Menteri tiba untuk menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Berbagai sepanduk yang mengecam Anwar dan menyokong Muhyiddin dikibar sepanjang perhimpunan itu.

(Berita ini dari Agenda Daily, 11 Ogos 2009)


***** *****


NEGARA DALAMBAHAYA - AZLAN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sultan Azlan Shah memberi amaran bahawa negara berada dalam bahaya jika undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila ia menyebelahi diri atau kumpulan sendiri sebaliknya ia ditolak jika keputusannya memihak kepada pihak lawan.

Sultan Perak menegaskan, negara juga terdedah kepada bahaya jika undang-undang dan penguatkuasanya mahu diketepikan manakala rakyat pula mula mengambil tindakan dengan tangan sendiri berasaskan emosi, sentimen dan hawa nafsu.

Titah baginda, jika tidak dibendung secara berkesan, keadaan itu akan meruntuhkan 'budaya bernegara' secara sivil untuk diambil alih oleh 'kaedah bernegara' yang mengamalkan budaya hukum rimba dengan yang lemah menjadi 'makanan' kepada yang kuat.

"Oleh itu, undang-undang perlu dipertahankan sebagai instrumen penimbang tara, tidak harus sama sekali dijadikan instrumen politik atau dipolitikkan.

"Kriteria pertimbangan untuk menggubal, menghapus atau meminda undang-undang hendaklah diasaskan kepada kepentingan negara, kepentingan keselamatan dan kepentingan rakyat jelata," titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian sewaktu merasmikan Istiadat Konvokesyen UM Ke-48 di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.

Hadir sama tiga Pro-Canselor UM, Raja Dr. Nazrin Shah, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Naib Canselor UM, Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Sempena istiadat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kemanusiaan) bagi menghargai jasanya kepada negara.

Istiadat enam hari itu menganugerahkan ijazah kepada 6,863 graduan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma.

Dalam pada itu, Sultan Azlan menjelaskan, kedaulatan undang-undang adalah suatu istilah lumrah, mudah disebut dan enak didengar namun susah hendak ditakrif serta diimplementasi malah amat sukar pula difahami dalam erti kata sebenar.

Tegas baginda, istilah kedaulatan undang-undang kadang kala diberi takrifan yang mengandungi unsur-unsur emosi untuk menyesuaikan dengan kehendak sesuatu pihak dan bukannya takrifan yang adil, benar, tepat dan berani berpandukan prinsip undang-undang.

"Lalu berlaku amalan menyimpang daripada semangat pemerintahan yang adil dan saksama hingga membolehkan terjadinya perbuatan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan penindasan.

"Di pihak rakyat jelata pula, berlaku perbuatan yang bukan saja tidak menghormati undang-undang malah secara provokatif mencabarnya dengan tujuan mencetuskan huru-hara dan kekacauan agar kerajaan yang sah tidak dapat berfungsi secara berkesan," titah baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Azlan menitahkan rakyat supaya membuat pertimbangan secara arif berhubung peristiwa-peristiwa yang dicetuskan secara tersurat dengan niat tersembunyi yang tersirat.

"Warga yang arif dan bijaksana perlu melihat sesuatu isu yang dibangkitkan dan tindak-tanduk politik yang sedang berlaku dari segi konsistensi suara dan perjuangan.

"Ia supaya negara yang aman lagi makmur ini tidak terjerumus dalam kancah huru-hara yang berterusan hingga sumber negara menjadi kurang produktif," titah baginda.

(Berita ini dar Utusan Online, 11 Ogos 2009)







No response to “BERITA”

Post a Comment