BERITA



DIPERMATANG PASIR, PAS KEKAL KEMENANGAN BESAR
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Ogos:PAS mengulangi kemenangan besar yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu apabila kiraan undi rasmi menunjukkan calonnya, Mohd Salleh Man mengatasi pesaing daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman dengan majoriti melebihi 4,551.

Kiraan rasmi menunjukkan PAS mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi BN, menambahkan lagi pukulan kepada BN yang belum pernah memenangi pilihan raya kecil di Semenanjung sejak selepas pilihan raya umum lebih setahun lalu.

Kerusi Dun Permatang Pasir dimenangi wakil PAS Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dengan majoriti 5,433 undi dalam Pilihan Raya Umum-ke 12, kemenangan ketiga dan dengan majorit terbesar dalam tiga pilihan raya dimenangi PAS sejak 1999.

Kemenangan ini menyaksikan majoriti merosot diperolehi PAS dipercayai akibat hari pengundian yang dilakukan pada hari bekerja.

Jumlah keluar mengundi merosot kepada 73.1 peratus daripada 82.57 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.

ImagePAS telah menjalankan kempen dengan lancar sejak hari pertama kempen ekoran masalah peribadi calon BN berhubung salah laku melibatkan wang anak guamnya berjumlah RM161,000.

Umno yang berharap untuk mengulangi peningkatan undi diperolehi di Manek Urai gagal mencapai matlamat tersebut dalam menghadapi PAS di kubu kuatnya yang juga kerusi tunggal PAS di Pulau Pinang. Image

Image


----------------


MAHKAMAH PUTUS DR HATTA TIDK BERSALAH, ARAH BAYAR GANTI RUGI
Harakahdaily

TERKINI

KUANTAN, 26 Ogos: Mahkamah Tinggi Kuantan sekali lagi mengesahkan tangkapan kerana mengadakan ceramah di rumah persendirian adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Untuk itu, polis diminta membayar gantirugi kepada Dr Hatta Ramli dan dua lagi yang menyaman polis kerananya.

Kes ini diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mariana Yahya di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Dr Hatta, Bendahari PAS Pusat dan dua lagi telah menyaman polis dan kerajaan kerana menangkap beliau serta dua lagi kerana mengadakan ceramah di Rompin, Pahang pada 10 Jun 2005 lalu.

Beliau akan mengadakan sidang akhbar khas di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut jam 3 petang ini bagi menjelaskan lagi kes ini.

----------------

NIZAR JADI TENAGA PENTING KEMPEN PAS
Ali Hashim
PERMATANG PAUH, 25 Ogos: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menjadi tokoh penting kempen PAS di Permatang Pasir.

Ke mana-mana sahaja beliau pergi, sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk di kalangan orang Cina Permatang Pasir.

Nizar bukan sahaja memberikan ceramah, bahkan juga diheret untuk menyertai pelbagai program termasuk mengunjungi orang ramai di pasar-pasar.

Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh, misalnya, telah menganjurkan majlis khas 'Sepetang Bersama Menteri Besar Pakatan Rakyat' Datuk Seri Nizar Jamaluddin baru-baru ini.

Majlis anjuran bersama Dewan Muslimat kawasan Permatang Pauh dan PAS cawangan Permatang To'Kandu itu berjaya menghimpunkan ahli-ahli muslimat dan kepimpinan cawangan dan kawasan yang ada bagi merapatkan ukhwah sesama muslimat.

Majlis yang diadakan di Dewan Haji Zabidi, Kampung Pertama, Permatang Pauh itu telah dihadiri oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin bersama-sama dengan kepimpinan PAS cawangan dan kawasan Permatang Pauh.

Dalam ucapannya Datuk Seri Nizar menyeru muslimat sebagai salah sebuah sayap penting dalam PAS untuk meneruskan kesinambungan perjuangan yang ada supaya penglibatan dalam politik itu dilihat sebagai satu ibadah dan pengorbanan untuk kesejahteraan ummah selaras dengan moto 'PAS FOR ALL' atau PAS untuk semua. Image

"Bagi memastikan Dewan Muslimat sebagai salah sebuah organisasi yang penting bermatlamat untuk memperjuangkan tuntutan agama dan kesejahteraan ummah maka pengorbanan yang dibuat oleh kita semua diharapkan mendapatkan keredhaan Allah.

"Setiap perjuangan kita haruslah berasaskan dan bersandarkan pada perjuangan Islam yang akan membawa kerahmatan kepada semua umat manusia di muka bumi ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu telah berjaya memeriahkan suasana apabila berucap dalam Bahasa Mandarin kepada sebahagian daripada hadirin bangsa Tionghua yang turut hadir dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Menurut Setiausaha Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh, Rafidah Abd Razak, program jamuan teh ini adalah bertujuan bagi merapatkan hubungan antara ahli dan pimpinan muslimat yang terdapat dalam kawasan Permatang Pauh.

"Apa yang kami hasratkan berjaya apabila digabungkan cawangan dan kawasan.Ternyata yang hadir amat menggalakkan kerana ia bukan sahaja dihadiri oleh ahli-ahli muslimat malah turut disertai oleh muslimin daripada cawangan dan kawasan.

"Ini membuatkan kami merasa kepimpinan dan khidmat kami dihargai apabila ada penyertaan yang sedemikian," katanya.

(Berita - Berita ini di ambil dari Harakah Daily, 26 Ogos 2009).


*******************


SEPERTI DIDUGA PADA KEKAL DI PERMATANG PASIR

PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir apabila calonnya, Salleh Man menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Salleh berjaya memperolehi 9,618 undi manakala Rohaizat pula meraih 5,067 undi.
Pada pilihan raya kecil kali ini, seramai 14,832 atau 73.1 peratus pengundi daripada 20,290 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Berbanding 16,803 pengundi yang keluar pada pilihan raya umum DUN Permatang Pasir dalam pilihan raya umum Mac 2008. PAS ketika itu yang diwakili Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman memperolehi 11,004 undi mengatasi calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5,571 undi. Majoriti pada ketika itu ialah 5,433.
Mengulas keputusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN menerima keputusan dengan hati yang terbuka.
Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit perubahan dan penambahbaikan sokongan kepada BN di beberapa peti undi.
Sikap pengundi menurutnya tidak banyak berubah tetapi BN akan tetap mengambil perhatian perkara-perkara yang dibangkitkan oleh para pengundi baik daripada kalangan Melayu, Cina mahupun India semasa tempoh kempen pilihan raya kecil berkenaan.
Menjawab satu soalan, Muhyiddin yakin BN akan kembali pulih dan banyak perkara yang telah dilaksanakan oleh pemimpin BN untuk rakyat.
Cumanya tambah beliau, dengan keputusan pilihan raya kecil berkenaan, semua pihak mesti mengukuhkan parti.
“Segenap lapisan UMNO di Permatang Pauh mestilah memahami sikap masyarakat, kukuhkan hubungan akrab dan teliti daftar pemilih walaupun SPR menengaskan tiadanya pengundi hantu,” nasihat beliau.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada jentera BN yang bekerja kuat sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil itu.
Sementara itu calon BN, Rohaizat dalam reaksinya menerima keputusan pilihan raya tersebut dan akan membuat bedah siasat bagi mengenalpasti punca kekalahannya.
Ujar beliau, walaupun masih awal untuk membuat kesimpulan, beliau kecewa kerana sokongan pengundi Cina tidak seperti yang dijanjikan.

(Berita ini diambil dari Agenda Daily, 26 Ogos 2009)


*******************

Tangguh sebat cetus debat

Oleh Nik Sukry Ramli & Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Ramai bercanggah pendapat Jaip tunda rotan Kartika

KUALA LUMPUR: Tokoh agama serta pemimpin masyarakat dan politik bercanggah pendapat berhubung keputusan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menangguhkan pelaksanaan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno berhubung kesalahan meminum arak.
Sesetengah pihak menyifatkan keputusan itu boleh menimbulkan tanggapan negatif di kalangan masyarakat, manakala ada pula menganggap penangguhan itu wajar.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata keputusan Jaip menggambarkan sesetengah pihak kurang yakin dengan pelaksanaan undang-undang syariah.

"Hukuman itu tidak wajar ditangguhkan dengan alasan untuk menghormati Ramadan. Jika berpegang kepada alasan itu, maka semua hukuman terhadap pesalah yang ingin dijalankan pada bulan ini (Ramadan) perlu ditangguhkan.

"Alasan yang dikemukakan cukup rapuh, saya fikir ada pihak berasa serba salah untuk melaksanakannya, sedangkan pesalah terbabit sendiri sedia menjalani hukuman ini, malah mahu ia dilaksanakan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Jaip menangguhkan hukuman sebat terhadap Kartika yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini, sehingga menimbulkan kekecohan selepas model sambilan itu berkeras mahu dibawa ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.
Bekas Yang Dipertua Yadim, Datuk Dasuki Ahmad, juga berpendapat hukuman itu seharusnya diteruskan walaupun pada bulan Ramadan bagi mengelak salah tanggapan masyarakat terhadap pelaksanaan undang-undang syariah.
"Apabila mahkamah sudah menjatuhkan hukuman dan pesalah sedia menerima hukuman terbabit, apa salahnya jika melaksanakannya walaupun di bulan Ramadan. Tujuan kita hendak mendidik bukannya mendera.

"Kita perlu jelas dari segi hukuman apakah ia bertujuan untuk mendera atau menghukum. Perkara ini diheboh-hebohkan dan ia bukan saja menjejaskan imej Islam, malah menampakkan kita ingin melakukan penderaan," katanya.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Nooh Gadut, pula menjelaskan tiga aspek perlu diambil kira sebelum membuat keputusan menangguhkan hukuman terbabit, iaitu pesalah, pemerintah atau pelaksana undang-undang dan masyarakat.
"Pertama pesalah menerima keputusan mahkamah dengan penuh keinsafan dan penghargaan sepatutnya diberikan kepada beliau. Satu pahala besar akan beliau peroleh sekiranya bertaubat nasuha.
"Kedua, Nabi Muhammad SAW sewaktu menjatuhkan hukuman terhadap perempuan yang mengaku berzina, pernah menangguhkan hukuman itu sehingga wanita terbabit bersalin kerana tertuduh sudah insaf dan sedia menerima hukuman. Pandangan masyarakat juga perlu diambil kira supaya orang ramai tidak melihat Islam itu zalim.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhamad Razak Idris, berkata keputusan Jaip yang meletakkan asas pada Ramadan bagi menangguhkan hukuman terhadap Kartika perlu dihormati.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui laman blognya mempersoalkan hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah terhadap Kartika, sama ada ia keputusan tepat dan adakah terdapat peruntukan dalam undang-undang Syariah di negara ini.
"Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah. Jika kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan undangan atau melalui fatwa oleh ulama, bolehkah tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim.
"Dalam al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan, apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya. Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama," katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula memuji tindakan Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan hukuman itu ditangguhkan.
Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita 2009, beliau berkata, penangguhan hukuman itu bersesuaian bagi menghormati bulan Ramadan, di samping mengelak persepsi negatif dunia terhadap negara ini.
"Kami di kementerian sentiasa mengikuti perkembangan kes ini dan tidak mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan itu.
"Apa yang kita risau, corak hukuman itu boleh memberikan impak buruk kepada negara ini seperti Malaysia dianggap mengamalkan sistem yang zalim," katanya.
Shahrizat berkata, Kartika juga masih mempunyai ruang untuk meminta semakan semula hukuman yang dijatuhkan itu, namun kementerian dan kerajaan tidak mempunyai hak untuk memaksanya berbuat demikian.
"Saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu asalkan pelaksanaannya tidak menunjukkan ia dibuat atas faktor Kartika ini seorang wanita. Bagi saya, ini bukannya cara terbaik untuk mendidik apatah lagi hukuman ini keputusan yang tepat atau tidak.
"Kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Dasar wanita yang baru juga akan mengambil kira semua ini agar tidak ada pihak yang teraniaya atau menjadi mangsa hanya kerana mereka ini seorang wanita," katanya.

(Berita ini diambilo dari Berita Harian Online, 26 Ogos 2009)

******************

Utamakan tarbiah – PM


Najib Tun Razak bersama Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kiri) ketika melancarkan Hari Wanita peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen KLCC, semalam. Turut sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor. - utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH


PELBAGAI pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberikan reaksi terhadap penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32.

Hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama wanita.

Islam lebih mengutamakan tarbiah secara berhemah terhadap pesalah terbabit supaya mereka lebih sedar dengan kesalahan dilakukan.

Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan intipati di dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

*Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus memberi jaminan menyemak semula enakmen hukuman sebat atas kesalahan minum arak selepas Aidilfitri ini yang turut membabitkan kes Kartika.

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menjatuhkan hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap pesalah terutama golongan wanita.

Perdana Menteri berkata, Islam lebih mengutamakan tarbiah secara berhemah terhadap pesalah supaya mereka lebih sedar dengan kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini.

“Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan inti pati dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Oleh itu, apabila mengenakan hukuman (terhadap pesalah) proses tarbiah sepatutnya lebih penting berbanding hukuman fizikal kerana ia sejajar dengan sifat Islam yang simpati dan belas kasihan kepada umatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Najib turut menyentuh mengenai wanita yang sering menjadi mangsa dalam kes-kes kekeluargaan seperti nafkah dan penceraian.

“Dalam kita melaksanakan hukum syariah terlalu banyak kes nafkah, cerai dan sebagainya yang mana wanita sering jadi mangsa.

“Ini kerana tiada kerja-kerja penguatkuasaan dalam menguatkuasakan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah syariah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan untuk memastikan kuota 30 peratus golongan wanita sebagai pembuat keputusan tercapai.

Menurutnya, ia boleh dicapai kerana wanita juga mempunyai kebolehan sama dengan lelaki malah dalam beberapa bidang bilangan mereka lebih ramai antaranya penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Berdasarkan rekod jumlah wanita di IPT kira-kira 65 peratus. Begitu juga dengan beberapa kementerian yang mana kita dapati jumlah mereka lebih ramai daripada lelaki,” katanya.

Mengenai pelancaran Dasar Wanita Negara malam ini, Najib berkata, terdapat beberapa perkara pokok yang harus diberi tumpuan.

“Pertama, persekitaran yang kondusif perlu dibentuk dalam usaha memastikan peranan wanita menjadi lebih aktif serta bebas daripada unsur-unsur diskriminasi.

“Satu lagi perkara yang perlu diberi penekanan ialah keperluan membenarkan wanita bekerja dalam waktu yang lebih fleksibel selain menggalakkan kewujudan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja,” katanya.

------------------------


Kerajaan yakin SPRM – PM

PUTRAJAYA 25 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pihak tertentu jangan menjadikan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai mainan politik atau sentimen mereka.

Tegas Perdana Menteri, pihak berkenaan tidak boleh menuding jari menyalahkan SPRM hanya berdasarkan kes tertentu khususnya kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Menurutnya, dalam apa jua keadaan, semua pihak diminta tidak terlalu cepat menyalahkan institusi itu dalam usahanya untuk memerangi rasuah dan membawa urus tadbir baik untuk negara.

‘‘Kerajaan masih yakin dengan kewibawaan SPRM. Dalam kes melibatkan mendiang Teoh, saya percaya ia bukan suatu yang diinginkan oleh SPRM sebab insiden berlaku di pekarangan bangunan SPRM (Selangor).

‘‘Sudah tentu ia menimbulkan banyak persoalan tentang kredibiliti SPRM namun saya harap ia tidak dijadikan mainan politik kerana ini boleh membawa keadaan negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2009 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya tindakan pihak tertentu mempertikaikan kredibiliti SPRM dalam mengendalikan kes tertentu sehingga dikatakan berlaku unsur ugutan dan gangguan terhadap pegawai agensi itu dalam menjalankan tugas.

Suatu ketika keadaan itu menyebabkan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan siasatan pihaknya terhadap semua kes membabitkan ahli politik.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kekecohan yang berlaku ketika SPRM cuba menahan pembantu kepada seorang Exco kerajaan Selangor, Wong Chuan How, 50, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa wang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Najib, dalam menyiasat kes kematian Beng Hock, kerajaan telah pun bersikap telus dengan memulakan inkues oleh mahkamah dan selepas ini menerusi penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti prosedur siasatan SPRM.

‘‘Jika ada yang tidak memuaskan, maka kita akan buat langkah pembetulan.

‘‘Kita bersikap telus dalam segala hal dan diharap dengan ketelusan ini, rakyat faham bahawa kerajaan tidak akan menutup kelemahan di mana-mana,” katanya.

Mayat Beng Hock, 30, yang ditemui di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam bulan lalu menjadi misteri kerana kejadian berlaku selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut.

Siasatan tersebut berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

(Berita - berita ini diambil dari Utusan Online, 26 Ogos 2009)

***************


WAKIL RAKYAT 'LOMPAT' PARTI HILANG KELAYAKAN

SHAH ALAM - Pas menggesa satu undang-undang yang menetapkan wakil rakyat yang keluar dari parti yang diwakilinya akan automatik hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disandangnya.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi terdahulu menunjukkan wakil rakyat yang keluar parti yang diwakili mampu mencetuskan keadaan huru-hara dan kurang disenangi rakyat.

“Jika seseorang wakil rakyat itu keluar dari partinya, ia bermakna dia sudah tidak mendapat sokongan pengundinya yang menyokong parti berkenaan, oleh itu amat wajar jika ada satu undang-undang yang menetapkan kelayakan wakil rakyat tersebut hilang atau mewajibkan penyandang itu meletakkan jawatan perlu diadakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang bertindak keluar PKR dan mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti itu.

Sebelum Mohd Radzhi, dua wakil rakyat dari PKR iaitu ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu mengambil tindakan sama hingga menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan tiga wakil rakyat PKR yang keluar parti itu tidak mustahil berlaku kepada parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) pada masa depan.

“Saya cadangkan ini bukan kerana situasi yang berlaku kepada PKR dan PR, tetapi atas dasar mahu keadaan yang lebih baik dan harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah PKR perlu mengambil langkah segera bagi mengelak wakil rakyat terus keluar dari parti tersebut, Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak mahu mencampuri urusan dalaman rakan pakatannya kerana setiap parti mempunyai kaedah tersendiri mengawal disiplin ahlinya.

“Pas mempunyai sistem tarbiah untuk memupuk semangat ahlinya, mungkin PKR tersendiri,” katanya.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian, 26 Ogos 2009)







No response to “BERITA”

Post a Comment