BERITA

Asri Rabbani jatuh dan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Vokalis utama kumpulan Rabbani Mohamad Asri Ibrahim meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.


Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia.

Inna lillahi wa innailaihi rajiun

-------------------------

Hampir 100 pemimpin Pakatan Rakyat berhimpun

Wartawan Harakahdaily
PETALING JAYA, 13 Ogos: Hampir 100 para pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu dari PAS, PKR dan DAP berhimpun di Tropicana Golf Club pagi ini bagi menyertai bengkel sehari Memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan ucaputama manakala Lim Kit Siang dijadualkan memberikan ucapan penutup.

Satu sidang media khas dijangka akan diadakan selepas tengahari nanti.

----------------------------

Umno tergugat punca Anwar diserang, kata Nik Aziz
Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh): Kerana kehebatan dan kejayaannya menggugat Barisan Nasional (BN) khasnya Umno, menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di serang habis-habisan, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik.

Bagi beliau, semuanya berdasarkan satu perkara sahaja iaitu dengki terhadap Ketua Pembangkang itu sehingga beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsa.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas serangan besar-besaran Umno terhadap Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini.

Ia bermula dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mendakwa Anwar adalah pengkhianat orang Melayu. Namun, tidak ada sebarang kenyataan yang jelas apa dia pengkhianatan yang dibuat Anwar.

Ekoran itu, Anwar menghantar notis peguam kepada Muhyidin dan meminta agar kenyataan itu ditarik balik dan meminta maaf kepadanya.

Namun, ia ditolak oleh Muhyidin bahkan selepas itu, Umno Johor berhimpun di Paguh dan meneriakkan perkataan "Anwar pengkhianat" secara beramai-ramai. Mereka juga mencabar Anwar menyaman mereka.

Menurut Nik Aziz, Umno seharusnya menyerang dasar perjuangan parti PKR dan bukannya individu sekiranya mendapati perjuangan parti itu tidak betul.

Image(Gambar: Hubungan rapat antara Anwar dengan Nik Aziz dan Abdul Hadi)

Katanya lagi, dalam sejarah ketamadunan manusia, Namrud dan Firaun walaupun berkuasa namun kerana menghianati ajaran Allah, mereka tetap menerima padah serta hukuman dari Allah walaupun berbangsa Arab.

Umno katanya, tidak wajar menyerang individu untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mereka dengan memburukkan Anwar Ibrahim, sebaliknya dasar parti yang perlu dikritik atau seumpamanya sekiranya ia tidak betul.

Beliau melahirkan rasa malu terhadap orang politik Malaysia yang menyerang individu secara besar besaran dengan mengatakan Anwar sebagai penghianat bangsa.

Jelasnya, kalau demikian hujjah Umno, Nabi Muhammad saw juga boleh diistilahkan sedemikian kerana baginda turut menentang bapa saudara yang sebangsa dengannya.

"Sejahil-jahil orang Arab Jahiliah pun dia tak kata Nabi Muhammad ni penghianat bangsa, sebaliknya sebagai orang yang memperbodohkan pemimpin kami, itu saja tak ada pun sebut pengkhianat bangsa,�ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masaalah bangsa itu hanya akan timbul setelah masyarakat itu sendiri yang membangga-banggakan bangsanya, sedangkan seruan bangsa di Padang Mahsyar nanti tidak wujud.

Tambahnya, sekiranya bangsa cukup berharga di sisi Allah, tentu sekali bangsa Arab lebih berharga dari Melayu.

Menurutnya, kerana Anwar bersama Pakatan Rakyat dan semakin diterima rakyat, menyebabkan mereka takut dan cara yang difikirkan sesuai bagi mereka ialah menyerang ketua pembangkang itu secara peribadi.

"Kita ni nak naikkan (fahaman) politik, dan bukannya nak menaikkan atau memburukkan individu tertentu, tak betul, itu memalukan kita,"ujarnya.

----------------------

Khairy gentar berdepan wacana Umno-PAS?
Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Hrkh) - Bukan sahaja tidak memberi respons bahkan forum yang dianjurkan oleh Gerakan Anti Korupsi Malaysia (Gerak), minggu ini telah ditolak jemputannya oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin seolah-olah dilihat gentar untuk berhadapan dengan hujah-hujah dan fakta yang bakal dipersembahkan oleh panel yang turut diundang iaitu Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasruddin Tantawi.

Gerak dilaporkan telah merancang untuk mengadakan forum berhubung isu-isu rasuah pada esok (13 Ogos) dan menjemput ketua pemuda kedua-dua parti itu sebagai ahli panel, demikian kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kamaruzaman Mohammad.

"Secara rasmi, Ustaz Nasruddin telah mengesahkan kehadiran dan akan turut serta dalam forum terbabit sebagai ahli panel, namun sebaliknya bagi Ketua Pemuda Umno.

"Dia telah menolak jemputan itu dan dalam masa yang sama belum memberi respons berhubung wacana pemuda PAS-Umno, yang dicadangkan lebih sebulan lalu," katanya menerusi perbualan telefon dengan Harakahdaily.net sebentar tadi.

Menurut Kamaruzaman, Pemuda PAS telah bermesyuarat Sabtu lalu berhubung wacana terbabit, dan masih menunggu jawapan daripada Pemuda Umno.

"Kita belum memberi tempoh tamat dan kita masih terbuka, walaupun Pemuda Umno dilihat seperti tidak berminat ataupun, Ketuanya mula gentar untuk berdepan dengan wacana ini," katanya.

Dan jika kedua-dua pihak bersetuju, wacana tersebut akan dianjurkan selepas Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir dan selepas Syawal, katanya.

Sebelum ini, Khairy menyatakan dalam suratnya ingin bertemu secara tertutup - pertemuan empat mata dengan Ustaz Nasrudin Hassan Al-Tantawi, yang ditolak mentah oleh Ketua Pemuda PAS itu, kerana wacana tersebut adalah untuk pengetahuan rakyat dan mengelakkan sebarang fitnah.

"Kita sudah membentuk jawatankuasa teknikal, tetapi Umno masih tidak ada sehingga kini dan belum berbincang lagi berhubung wacana tersebut.

"Yang ada surat Khairy yang tidak berapa setuju dengan tajuk wacana 'Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam' itu dan hanya mahu bertemu secara tertutup dengan Ustaz Nasruddin," kata Kamuzaman.

(Berita ini dari Harakah Daily,13 Ogos 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment