BERITA

Hassan Ali, Ronnie Liu sepakat isu 'Arak' selesai
Hazayani & Dzulfikar Mashoor| Foto Wan Zahari

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali bersama Exco DAP Ronnie Liu menyatakan kata sepakat isu penjualan Arak dianggap sudah selesai.

Image

Kedua-dua mereka dilihat berjabat tangan dan berdamai secara terbuka di satu sidang media bersama di Tropicanna dekat sini petang tadi.

Dalam kenyataan kedua-dua belah pihak, mereka bersetuju bahawa penjualan arak dibenarkan bagi orang bukan Islam.

Namun ianya mesti dikawal dan tidak dibenarkan kepada orang Islam. Dalam masa yang sama, difahamkan, kedua-duanya bersetuju bahawa tidak ada permit baru akan dikeluarkan bagi tujuan penjualan minuman beralkohol itu.

Turut hadir di sidang media yang dibuat sejurus selepas Seminar Pakatan Rakyat di Tropicana, ialah Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali beserta barisan pimpinan parti masing-masing. Image

Dalam sidang media itu Anwar menyatakan bahawa penubuhan Jawatankuasa Displin Pakatan Rakyat akan ditubuhkan di peringkat pusat bagi memantapkan lagi dasar dan pelan tindakan pemimpin Pakatan Rakyat.

Seminar itu juga adalah bertujuan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sekaligus cuba menangkis pelbagai tohmahan dan serangan 'pyswar' yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno mutakhir ini.


---------------------


Pengkhianat sebenar adalah Muhyidin?

Ali Hashim
PERMATANG PAUH, 14 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyelar pemimpin Umno yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat kerana pengkhianat sebenar adalah Umno dan Muhyidin Yassin adalah salah seorang darinya.

Ini kerana beliau dan Umnolah yang diberikan mandat untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara selama ini.

Nizar tidak menyebut secara jelas tetapi dipercayai kerana peranan Muhyidin dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura serta kedudukan orang Melayu di Johor.

"Umno dan Barisan Nasional adalah parti yang telah mengkhianati orang Melayu dan Umat Islam dalam negara ini. Mereka telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka laksanakan sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi ini.

"Sebagai pendokong amanah mereka sepatutnya adil tanpa mengkhianati dalam apa jua aspek. Tapi kita lihat bagaimana sikap dan tindakan mereka apabila adanya bantahan dan rakyat tidak menyokong kepimpinan mereka maka amanah yang sepatutnya mereka laksanakan itu mereka kesampingkan walaupun yang mengharapkan sokongan daripada mereka itu adalah orang Melayu dan umat Islam sendiri."

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin memulakan serangan ke atas Anwar dan menyifatkan beliau pengkhianat. Ia dibuat menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir, Dun yang terletak dalam kawasan Parlimen Anwar iaitu Permatang Pauh.

Ia juga dibuat serentak dengan serangan berterusan terhadap Pakatan Rakyat khasnya dalam usaha yang dilihat sebagai mahu memecahkan hubungan antara parti-parti itu.

Ini kerana, Pakataan dilihat sebagai cabaran utama kepada BN dan Anwar adalah pemimpin utamanya.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata Umno dan Barisan Nasional perlu sedar bahawa rakyat sudah tidak menyokong mereka lagi untuk terus mentadbir negara ini.

"Sehubungan dengan itu sekali lagi dalam pilihan raya kecil yang kelapan dalam negara yang akan diadakan selepas Penanti baru-baru ini, Umno dan Barisan Nasional harus diberi pengajaran dan kesedaran kepada mereka di kerusi Permatang Pasir pula bahawa rakyat sudah tidak memerlukan mereka untuk meneruskan perjuangan sebagai pemerintah dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah dalam majlis 'Sepetang Bersama Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak' anjuran Dewan Muslimat kawasan Permatang Pauh. _

------------------


Anwar cabar, siapa sebenarnya pengkhianat

Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Setiap wajah jelas menampakkan reaksi ingin tahu. Bukan satu, bukan juga puluhan, malah bukan jua ratusan tetapi ribuan membanjiri lokasi ceramah untuk mendengar sendiri daripada Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Isu khianat menjadi tumpuan. Semua yang hadir menanti apakah jawapan Anwar terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh Umno sejak kebelakangan ini.

Beralaskan akhbar lama, ada yang baru, masing-masing mencari tempat strategik untuk mendengar sendiri jawapan daripada mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kalau saya ambil saham Bumiputera, 1 inci tanah kerajaan, 1 kontrak untuk diri saya, Azizah dan anak- anak, kalau boleh cabar saya. Pejuang- pejuang Umno Barisan Nasional, handal- handal belaka. Menteri mereka menghunus keris. Tanya dia kalau kamu pembela Melayu, ada atau tidak kamu ambil saham bumiputera ? Wang berpuluh juta yang diambil untuk keluarga mereka dan kroni mereka?," soal Anwar semasa berceramah di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Bukit Tinggi ? Gunung Genting? Diserah pada tauke judi. Umno serah Pulau Pangkor pada tauke Cina. Serah tanah Menara KL kepada Ananda Krishnan. Diberikan syarikat dan dia jadi jutawan dalam masa yang singkat. Tauke- tauke Melayu diberi rumah, di Kuala Lumpur, London, Florida dan lain- lain. Jangan cabar saya. Kalau orang Umno kata ini adalah fitnah, ayuh cabar saya. Saya akan jumpa dan jelaskan satu persatu," tambah Anwar lagi.

Beliau menyatakan kehairanannya mengapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terlalu mengamalkan perjuangan yang sarat dengan hasad dengki dan permusuhan peribadi yang melampau-lampau.

Bagi Anwar, adalah dosa yang besar untuk seseorang pemimpin itu merampas hak rakyat dan harta negara yang sepatutnya diagihkan kepada secara adil dan saksama.

"Kita hendak tanya pada mereka. Mengapa pemimpin Umno ambil sikap bermusuh begitu sekali ? Ingat senang untuk panggil orang pengkhianat bangsa? Khianat bangsa maknanya jual tanah, jual negeri. Biarkan rakyat dan kaum Melayu menderita. Dan dia kata untuk dirinya. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita? Kenapa pemimpin Umno mengambil sikap yang rakus, zalim, sombong dan angkuh?" soal Anwar.

Sebaliknya Anwar menegaskan Umno dan BNlah yang bertanggungjawab menjadikan orang melayu sehingga kini masih terkurung dalam mentaliti lama.

"Orang Melayu diperbodohkan kerana Umno hanya akan berkuasa dan kekal berkuasa bila sekiranya orang Melayu tidak tahu maklumatnya," ujar Anwar.

Beliau juga mempertikaikan rasionalnya slogan 1Malaysia yang canang hebat oleh Perdana Menteri. Umno-BN mencanangkan 1Malaysia namun dalam masa yang sama meniupkan api perkauman supaya Melayu dan bukan Melayu saling benci- membenci.

"1Malaysia BN ialah 1Malaysia untuk orang kaya, ambil komisyen RM400 juta, tidak perlu siasat. Rumah RM26 juta, tutup kes. Stadium roboh, tidak perlu siasat. Tapi orang miskin belanja RM2,382...siasat, dera, siasat, sampai mati. Itu maknyanya 1Malaysia untuk orang besar. 1Malaysia orang kaya dan 1Malaysia untuk orang- orang kecil,"jelasnya.

"Negara kita antara negara yang terkaya jika banding dengan negara- negara jiran. Mana ada negara jiran yang masyhur minyak begitu besar ? Tidak usah buat apa, hanya ambil komisyen minyak, RM60 bilion, RM70 bilion. Saya tahu sebab saya Menteri kewangan selama 8 tahun. Hasil kelapa sawit, hasil balak di Sabah dan Sarawak tinggi. Tapi apakah diagih pada rakyat?,"soal Anwar lagi.

(Berita - Herita ini diambil dari Harakah Daily, 14 Ogos 2009)


***********************


BATAL TAPI INTERNET TAPI ...

Kerajaan mengambil keputusan membatalkan cadangan untuk menapis internet selepas mendapat bantahan ramai, tetapi tetap akan mengambil tindakan ke atas golongan yang menghasut, menghina agama, menyebarkan fitnah atau pornogorafi kanak-kanak serta melakukan penipuan menerusi internet.Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata, cadangan membatalkan tapisan internet itu dibuat setelah mendapat banyak bantahan ramai. Tetapi katanya, kementeriannya, serta Kementerian Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Nazri Aziz) telah diberi tanggungjawab oleh kabinet untuk menyelaraskan bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas pesalah.

(Berita ini dari Agenda Daily, 14 Ogos 2009)











No response to “BERITA”

Post a Comment