KOTA BHARU, 27 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penolakan demi penolakan rakyat terhadap Umno dalam siri pilihanraya kecil sebagai isyarat mereka tidak menerima dasar kebangsaan parti itu. Ketika mengulas kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir beliau berkata, salah satu punca kekalahan Umno di DUN berkenaan ialah dasarnya yang bercanggah dengan Islam. "Penolakan-penolakan yang begitu banyak terhadap Umno ni satu daripada sebabnya berpunca daripada dasar yang dibuat parti Umno. Parti yang memerintah sekarang ni tak betul dengan dasar Islam. "Kelantan telah hampir 20 tahun guna dasar Islam dengan segala praktikalnya. Alhamdulillah dapat penerimaan daripada semua bangsa dan agama," ujar Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mesyuarat exco di pejabat setiausaha kerajaan semalam. Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru Umno mengubah dasar kebangsaan mereka kepada dasar Islam selaras ajaran Al-Quran. "Saya dengan penuh ikhlas minta saudara-saudara-saudara kita dalam umno tolong fikir, tolong ubah dasar Umno kepada dasar Islam. Bulan Ramadhan ni bulan Quran.Bila kita orang Islam buat dasar lain kedaulatan Allah ke atas manusia makin terhakis.Tiba-tiba kita tak mahu pakai Quran, ambil dasar yang dibuat oleh manusia.Ini tak betul,"katanya. Pilihanraya kecil Permatang Pasir yang merupakan pilihanraya kali ke lapan diadakan selepas pilihanraya umum pada 2008. Ianya menyaksikan kekalahan Umno BN buat sekian kalinya dengan majoriti besar iaitu sebanyak 4551 undi. Calon PAS Ustaz Salleh Man mendapat 9618 undi manakala calon BN Rohaizat Othman mendapat 5067 undi. BN hanya menang di DUN Batang Ai sementara di DUN Penanti, mereka tidak meletakkan calon. Dalam lapan pilihanraya kecil iaitu tiga parlimen dan lima DUN yang ditandingi jelas menyaksikan rakyat menolak Umno BN walaupun pimpinan parti itu tetap mengatakan bahawa mereka masih diterima rakyat. Bermula di Parlimen Permatang Pauh, menyaksikan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato' Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti yang besar iaitu sebanyak 15671 undi mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah. Di Parlimen Kuala Terengganu pula, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2631 undi menewaskan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Seterusnya tiga pilihanraya kecil yang berlangsung serentak iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan Dun Batang Ai menyaksikan Pakatan Rakyat menang dua daripadanya. Di Bukit Gantang,Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengalahkan calon BN Ismail Saffian dengan majoriti 2789 undi. Di Dun Bukit Selambau pula calon PKR S.Manikumar mengalahkan calon BN Datuk S.Ganesan dengan majoriti 2403 undi. Manakala BN hanya menang di Dun Batang Ai apabila calonnya Malcom Mussen Lamoh mengalahkan calon PKR Jawah Gerang dengan 1854 undi. Atas pelbagai alasan, BN membuat keputusan tidak meletakkan calon di DUN Penanti. Seterusnya di Dun Manek Urai, calon PAS tetap berjaya menewaskan calon BN walaupun hanya dengan majoriti 65 undi. Manakala yang terbaru di DUN Permatang Pasir, kembali menyaksikan kemenangan Pakatan Rakyat dengan majoriti yang besar sekaligus kekecewaan berterusan pimpinan Umno. Naib Presiden Umno, Hishamudin Husein antara pimpinan yang dilihat sangat kecewa dengan kekalahan itu. Hishamuddin mengharapkan BN dapat mengurangkan majoriti yang diperoleh oleh calon PAS dalam jumlah yang besar tetapi sebaliknya yang berlaku. ----------------------------- Sidang Dun Perak: Bahas titah tuanku, gantung Zambry Azamin Amin | KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Dato' Seri Nizar Jamaluddin yakin Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi insiden 7 Mei lalu akibat tindakan BN yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada. Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan keceohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun. Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar. Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya. Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar. "Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu. "Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi. Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu,(gambar) berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak. Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh. Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas. Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini. Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah. Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah. "Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. "Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz. Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama. Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi. "Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," katanya. |
(Berita - beritan inhi diambil dari Harakah Daily, 28 Ogos 2009)
***** ***** Idris Jala dilantik Menteri Tanpa Portfolio di JPM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.
Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib berkata beliau telah memaklumkan kepada kabinet mengenai pelantikan itu pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan pelantikan itu, katanya.
Idris, yang kini Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines, akan mengangkat sumpah sebagai senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.
Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.
Koh akan meneruskan tugas beliau dalam memformulasi dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA).
Koh akan menjadi pengerusi lembaga PEMANDU yang termasuk Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan lain.
Idris sebaliknya akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan Malaysia Airlines (MAS) serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan persekutuan.
Idris, yang akan menjadi timbalan pengerusi lembaga PEMANDU, akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI) dan menasihat di KRA peringkat menteri (M-KRAs) dan M-KPI.
Beliau akan melapor kepada Koh mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.
Menurut kenyataan itu, lembaga Malaysia Airlines akan mengumumkan secara berasingan CEO dan pengarah urusan baru syarikat penerbangan itu.
Idris dilantik sebagai pengarah urusan dan CEO Malaysia Airlines pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.
Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah pengarah urusan, Shell MDS (Malaysia) dan naib presiden, Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).
Antara 2000 dan 2002, Idris merupakan naib presiden, pemasaran runcit, Shell International.
Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan di mana beliau mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.
Antara tahun 1998 dan 2000, Idris adalah pengarah urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.
Idris memegang ijazah dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.
Sementara itu, semasa dihubungi Bernama susulan pelantikan beliau, Idris berkata: "Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara."-27/8/2009 Samy Vellu perang dengan anak didiknya Sothinathan... Memutar masa ke belakang mengingati sikap Datuk Seri S Samy Vellu, ada pihak melabelkan Presiden MIC itu seorang yang cukup kontroversi sama ada pertuturan atau tingkah lakunya. Kadangkala cakapnya ada yang menyakitkan hati bila mengulas isu-isu yang berkaitan partinya ataupun kementerian yang pernah diketuainya. Barangkali antara menteri Kabinet dan presiden parti paling lama sejak 1979, Samy Vellu cukup bijak mencipta kontroversi demi survival politik dan kedudukannya dalam kerajaan. Selain dikenali Samy Tol, bekas ahli parlimen Sungai Siput itu juga diingati kerana perang beliau dengan bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri M.G Pandithan sehingga orang kanannya itu dipecat daripada MIC dan kemudiannya menubuhkan parti baru dikenali IPF. Tentu ramai masih ingat kerana pertelagahan mereka Pandithan berpuasa dan bawa keranda kerana menentang bekas bossnya itu. Samy juga pernah menjadi punca kekalahan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam dengan menyokong Datuk G. Palanivel untuk bertanding jawatan tersebut. Akibatnya, Subramaniam tidak terpilih lagi sebagai calon dalam pilihan raya dan kini sedang berusaha bangkit untuk mendapat semula tempatnya dalam parti utama kaum India di negara ini. Ketika bertelagah dengan Subramaniam, bekas Menteri Kerja Raya itu tiba-tiba menjadikan Datuk S.Sothinathan sebagai anak didik. Namun menjelang pemilihan MIC 12 September ini, Naib Presiden MIC itu umun bertanding jawatan Timbalan Presiden menyebabkan Samy Vellu naik angin kerana beliau menyokong Palanivel kekal jawatan tersebut.. Marah dengan tindakan Sothinathan, yang merupakan bekas Setiausaha Agung MIC dan bekas ahli Parlimen Teluk Kemang, Samy Vellu pada Khamis berkata, beliau telah memutuskan hubungan dengan anak didiknya itu kerana pertandingan itu. "Saya tidak akan menerima beliau kerana beliau telah membelakangkan hasrat saya,” katanya yang sebelum ini meminta Sothinathan dan ahli lain menyokong Palanivel. Samy Vellu berkata, Sothinathan telah mengelirukan perwakilan dengan memberitahu cerita yang berlainan kepada orang yang berlainan bagi meraih undi. "Saya yang membawa beliau ke dalam parti ketika beliau hanyalah kakitangan Koperasi Pekerja Jaya. "Beliau telah lupa dan sekarang, apabila beliau berjumpa dengan orang-orang yang tidak menyukai saya, beliau memberitahu mereka supaya mengelak daripada saya. "Tapi apabila beliau bertemu dengan penyokong saya, beliau memberitahu mereka yang saya seperti bapanya dan oleh itu, mereka (penyokong saya) perlu mengundi beliau," katanya. Samy Vellu berkata, beliau adalah orang yang melantik Sothinathan sebagai setiausaha agung parti yang membolehkannya berhubung rapat dengan perwakilan dan pengerusi cawangan. "Saya tidak harap beliau (Sothinathan) menghargai tetapi saya tidak mahu beliau memperdaya perwakilan dan ahli-ahli parti dengan mempercayai yang beliau adalah orang Samy Vellu. Tanpa beliau katanya, Sothinathan tidak akan menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang, seorang Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri. Nampaknya ketika perang dalam MCA kerana Majlis Presiden parti itu memecat Timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek malam Rabu belum seleai, MIC pula akan turut berperang. Ianya bukan sahaja bagi mereka yang merebut jawatan utama dalam pemilihan parti itu tetapi perang Samy Vellu dengan Sothinathan. Perkembangan terbaru ini pasti menyebabkan pertarungan merebut jawatan timbalan presiden parti itu lebih menarik malah ada pemerhati politik membayangkan kemungkinan Sothinathan dan Subramaniam akan bekerjasama untuk mengalahkan Palanivel. Jika Palanivel tewas dan sama ada Sothinathan atau Subramanian menang, apakah Samy Vellu yang sudah umum lepas jawatan presiden MIC pada 2012 akan berbuat demikian, sama-sama kita tunggu.-27/8/2009 (Berita inji diajmbil dari Agenda Daily, 28 Ogos 2009)
|
No response to “BERITA”
Post a Comment