BERITA

TUNTUT RM10 JUTA DARI KDN, POLIS
Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Hrkh) - Sebarang kerugian para peniaga di ibu kota, Sabtu lalu mestilah dituntut daripada pihak Kementerian Dalam Negeri dan polis kerana mengarahkan premis-premis perniagaan ditutup, di samping mencetuskan suasana huru-hara dengan tangkapan rambang serta tindakan ganas dalam menyuraikan perhimpunan aman ISA itu.

Pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), telah memberi jaminan bahawa himpunan akan berlangsung secara aman dan memastikan para peserta tidak mengganggu dan melakukan tindakan salah sehingga menyusahkan orang awam namun keadaan bertukar kelam-kabut akibat tindakan pihak polis dan larangan KDN.

Demikian dinyatakan Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli ketika diminta mengulas berhubung tuntutan RM10 juta oleh 1,000 peniaga yang mendakwa mengalami kerugian akibat demonstrasi tempoh hari.

"Jika polis dan KDN benarkan kita berhimpun secara aman, pasti Kuala Lumpur tidak lumpuh 1 Ogos lalu dan tidak timbul suasana kecoh atau peniaga rugi.

"Sehingga kini, tidak kedengaran ada laporan rompakan, ceroboh, mencuri atau barangan dirampas daripada peniaga pada hari himpunan itu. Yang ada ialah peniaga rugi kerana polis mengarahkan perniagaan kedai-kedai ditutup.

"Selain itu orang ramai, pengguna dan pelanggan bertempiaran lari bukan suka-suka tetapi ditembak gas pemedih mata dan diasak ganas polis, jadi sebarang kerugian sila tuntut kepada polis dan KDN," katanya ketika dhubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Sementera, itu beliau menjelaskan bahawa terdapat maklumt yang diterima mana-mana para peniaga yang 'berani' membuka kedai, mereka mendapat keuntungan lumayan, kerana jumlah peserta yang berhimpun amat ramai sekaligus menjadi pengguna dan pembeli pada hari tersebut.

Perkara ini turut diakui oleh Pensyarah Media Universiti Malaya,Dr Abu Hasan Hasbullah dalam sebuah laporan yang menyatakan bahawa para peniaga mendapat keuntungan berlipat ganda hasil himpunan aman besar-besaran Sabtu lalu.

Dalam masa yang sama, Dr Hatta menggesa pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat taksiran kerugian dan keuntungan yang diperolehi oleh peniaga yang dibimbangi dimanipulasi dan diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu.

"Angkanya juga dicurigai. Jika sebuah pasaraya kerugian RM300,000 selama 2 jam, berapakah untung yang diperolehi jika ianya beroperasi selama 12 jam, tentunya RM 1.8 juta...jadi LHDN sila siasat jumlah ini. Jika benar tuntut kepada pihak polis dan KDN," katanya yang turut dikasari pihak polis pada hari tersebut.

Beliau, juga tidak terkejut apabila Pemuda Umno cuba menjadi 'hero' untuk mewakili para peniaga membuat tuntutan kepada pihak penganjur yang menunggu masa untuk menjejaskan imej GMI, NGO dan Pakatan Rakyat yang menentang akta zalim ISA itu.

"Kita sentiasa bersedia, jika ada tuntutan undang-undang, kita akan berhujah dan bertemu di mahkamah," katanya mengakhiri perbualan.

Semalam tiga persatuan peniaga di Jalan Masjid India di sini menuntut ganti rugi RM10 juta daripada penganjur perhimpunan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Sabtu lepas.

Persatuan terbabit ialah Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman (LTAR).

Pengerusi Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Rosli Sulaiman berkata, ketiga-tiga persatuan peniaga bersetuju untuk mengemukakan tuntutan saman sebanyak RM10 juta yang melibatkan 1,000 orang peniaga.

---------------------

NAJIB LEBIH MALANG DARI ABDULLAHBADAWI

Muhamad Yusri Amin

TUMPAT, 5 Ogos (Hrkh) - Mungkin nasib malang menimpa Dato' Seri Najib Razak apabila rakyat belum berminat kembali kepada Umno sebagaimana berlaku di awal pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sedangkan di era permulaan pemerintahan Abdullah Umno dan Barisan Nasional (BN) mendapat lonjatan luar biasa sehingga berjaya merampas semula Terengganu dan hampir menumbangkan PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 2004.

Namun situasi itu tidak berlaku sekarang, malah rakyat terus mengekalkan mementum Mac 2008 apabila enam pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu memperlihatkan penolakan rakyat terhadap Umno dan BN.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, sedangkan sejarah pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini jarang sangat menyebelahi pakatan pembangkang.

"Umno ternyata gagal mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil yang diadakan awal tahun ini.

"Ini suatu perubahan yang belum kita lihat dalam sejarah politik Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Pengurniaan Diraja Peringkat Jajahan Tumpat 2009 di Pantai Seri Tujuh dekat sini, baru-baru ini.

Oleh itu Kamaruddin yang juga anggota parlimen Tumpat berkata, Najib sekadar meneruskan kelemahan mantan Perdana Menteri sebelum ini.

Menurutnya situasi serupa juga dijangka berulang di Permatang Pasir, Pulau Pinang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandangnya, Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman.

"Ketika pilihan raya kecil di Penanti BN tidak meletak calon dengan alasan tidak mahu membazirkan wang sehingga menjejaskan imej parti pemerintah di negara ini.

"Sedangkan perlembagaan negara menjelaskan sekiranya berlaku kekosongan, mesti diadakan pilihan raya tanpa mengira penyandangnya meninggal dunia atau meletak jawatan," katanya.

Beliau juga berkata, biar pun Umno dapat meningkatkan jumlah undi pada pilihan raya kecil di Manek Urai 14 Julai lalu, namun ia tidak menjadi ukuran sebenar kerana penggunaan jentera kerajaan begitu berleluasa sekali.

"Pada saya Manek Urai bukan contoh kelemahan PAS, tetapi sebaliknya menggambarkan kekuatan PAS mempertahankan serangan yang begitu hebat dan tidak demokratik daripada Umno-BN.

"Mereka menggunakan seluruh jentera kerajaan pusat dan menyogok wang begitu besar kepada pengundi," ujarnya.

Pada pilihan raya kecil tersebut PAS berjaya mempertahankan Dun Manek Urai dengan majoriti 65 undi melalui calon, Mohd Fauzi Abdullah.

---------------------

Wanita Pakatan gesa Shahrizat hentikan sikap 'ala Zionis'
Zuraida Kamaruddin, Nuridah Salleh, Chong Eng | Foto Nasir Sudin
Tue | Aug 04, 09 | 6:24:51 pm MYT

Wanita Pakatan Rakyat menggesa agar kerajaan segera menghapuskan Akta zalim ISA yang telah disalahguna oleh mereka yang berkuasa. Polis dipergunakan untuk melaksanakan wewenangan dengan kuasa yang terkandung dalam Akta zalim ISA. ISA memberi kuasa untuk menangkap dan memenjara rakyat tanpa alasan dan bukti yang sah.

ImageWanita Pakatan Rakyat juga amat kesal dengan kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, dalam usaha menutup kelemahan Umno-BN, Sahrizat seolah-olah seperti Zionis Israel yang mempertikai kanak-kanak Palestin yang berada bersama-sama ibu bapa mereka dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

ISA adalah satu Akta yang zalim dan diwujudkan hanya untuk menegakkan kepentingan Umno-BN. Oleh itu, ia wajar dituntut oleh sekelian rakyat, termasuk anak-anak yang menjadi pewaris masa depan negara.

ImageSebuah negara yang mendokong demokrasi sewajarnya tidak menghalang sebarang perhimpunan aman. Tuntutan rakyat agar ISA dimansuhkan dan bukan hanya dipinda tidak mendapat perhatian kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN.

Polis yang diperguna untuk mengukuhkan kepentingan Umno-BN telah memperalat ISA untuk menangkap sesiapa yang disukai tanpa alasan yang hak atau dakwaan dengan bukti yang sahih.

ImagePandangan yang lain dari Umno-BN disekat berhabisan dan tidak diberi ruang secukupnya agar didengari oleh rakyat. Media arus perdana di Malaysia adalah berat sebelah dan memperkukuh kewujudan Akta zalim ISA.

Polis telah mengamalkan budaya menghukum dan menyiksa mereka yang ditangkap ketika perhimpunan aman menentang ISA. Para OKT (orang kena tahan) telah sengaja tidak di layan dengan sewajarnya dan dibiarkan tanpa makan dan minum yang sempurna ketika dalam tahanan.

ImageOKT adalah tidak bersalah sehingga dijatuhkan sebarang hukuman oleh mana-mana mahkamah, maka wajar mereka dilayan sebagai rakyat Malaysia yang lengkap segala hak-hak kewarganegaraan mereka.

Sharizat lebih wajar menegur pihak polis, yang di bawah kuasa Menteri dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, untuk melaksanakan tugasan mereka secara adil dan profesional, bukannya menjadi alat atau barua mana-mana golongan, hatta Umno-BN sendiri.

Ketika perhimpunan berlangsung, gedung dan perniagaan sekitar lokasi terlibat telah penuh dikunjungi oleh pelanggan. Begitu juga dengan restoren dan kedai-kedai makan yang penuh dengan pengunjung.

Image Pengangkutan awam, khususnya perkhimatan LRT, Monorail dan bas dipenuhi oleh penumpang yang kesemuanya memberi keuntungan yang besar kepada perniagaan.

Sebenarnya tindakan polis yang menyimbah air asid dan gas yang telah menjejaskan kegiatan ekonomi rakyat Malaysia pada hari Perhimpunan menentang ISA 1hb Ogos lalu.

Bahkan polis juga telah mengakibatkan lalulintas jalanraya yang penuh sesak kerana sekatan jalanraya yang dikenakan.

Halangan dalam pengamalan demokrasi sebenar adalah punca kerugian perniagaan, kegiatan ekonomi rakyat Malaysia dan huru-hara di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN sebenarnya sangat cemas terhadap kebangkitan rakyat yang menuntut pemansuhan ISA.

ImageWanita Pakatan Rakyat menyokong penuh sebarang perhimpunan aman rakyat Malaysia dan menuntut agar pihak polis di bawah Kementerian Dalam Negeri memainkan peranan mereka menyuburkan amalan demokrasi ini, bukan sebaliknya.

Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Abdul Jalil, Wanita Pakatan Rakyat menggesa beliau agar hentikan bersikap ala Zionis yang mempertahankan keganasan polis terhadap rakyat.

---

Zuraida Kamaruddin ialah Ketua Wanita KEADILAN

Hjh Nuridah Salleh ialah Ketua Muslimat PAS

Chong Eng ialah Ketua Wanita DAP_

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 5 Ogos 2009)


***** *****


Pakatan Selangor terus berkocak...PAS desak Ronnie Liu ditukar portfolio

Serius dan ibarat retak menunggu belah. Itulah yang boleh digambarkan kemelut politik yang berlaku di Selangor buat masa ini. Satu per satu isu yang timbul semuanya makin menyerlahkan memang ada yang tidak kena dalam kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS itu. Jika ditelusuri isu-isu yang berbangkit, ia seolah-olah ada kaitan antara satu sama lain. Bermula dengan dakwaan wujudnya jalinan rangkaian samseng dengan Exco kerajaan negeri itu, kemudian Naib Presiden PKR Azmin Ali mendesak agar rombakan dibuat terhadap barisan Exco Selangor, muncul pula kes-kes penyelewengan peruntukan wakil rakyat di kalangan Exco dan ADUN. Terbaru, sekutu parti yang membentuk kerajaan campuran di negeri berkenaan, PAS membuat desakan terbuka agar kedudukan Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan, Ronnie Liu dipindahkan kepada portfolio lain kerana Ronnie dikatakan sering mencampuri urusan ‘orang lain’. Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali pada sidang medianya hari Selasa mahu Ronnie ditukarkan portfolio kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum.

Inkues: 157 sampel DNA diambil termasuk daripada pegawai SPRM


157 sampel DNA diambil termasuk daripada pegawai SPRM

Mahkamah Koroner yang menjalankan prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock diberitahu, semua 157 sampel DNA diambil daripada semua pegawai SPRM, polis, forensik dan pekerja cuci bangunan. Pengambilan sampel DNA terutama di kalangan pegawai SPRM amat penting bagi memperlihatkan keterbukaan proses siasatan kematian disebabkan ada sesetengah pihak telah menjatuhkan SPRM bertanggungjawab terhadap kematian Teoh. Malah ia juga memberikan gambaran tiada apa yang hendak disembunyikan.

Terdahulu mahkamah membenarkan permohonan peguambela pihak keluara Teoh untuk mendapatkan salinan kenyataan beramaran saksi yang direkodkan oleh pihak polism sepanjang tempoh siasatan kes kematian bekas setiausaha politik kepada Exco Selangor itu. Pihak peguambela juga memaklumkan mereka sudah pun memperolehi laporan toksilogi, kriminologi dan DNA mangsa.

Dalam pada itu peguambela memohon kepada mahkamah untuk memanggil tiga ahli kimia yang menjalankan ujian berkenaan sebagai saksi utama pada inkues berkenaan. - 5/8/2009



Berikut adalah kronologi inkues yang berlangsung pada 5 Ogos 2009:


INKUES 8 -Saksi Keempat, Kopral Abdul Karim Othman yang bertugas dibilik kawalan ibu pejabat polis daerah Shah Alam memberitahu beliau menerima panggilan dari Khairul memaklumkan menjumpai mayat lelaki Cina yang dipercayai membunuh diri.

INKUES 7 -Saksi ketiga, Mohd Khairul Izwan seorang pengawai kanan keselamatan Plaza Masalam memberitatu mahkamah dia terpaksa memanjat bumbung untuk ke tempat kejadian dan apabila sampai mendapati mayat tertiarap dan bahagian kepala mayat ada darah yang sudah kering. Dia kemudian nya menutup mayat itu dengan plastik hitam. Khairul juga beritahu sebelum menutup mayat itu dia menghubungi pihak polis jam 1.53 petang dan polis sampai ke tempat kejadian antara 8-10 minit kemudiannya.

INKUES 6 -Saksi Ridzuan Samsuri seorang juruteknik bahagian penyelengaraan Plaza Maslam beritahu mahkamah beliau dihubungi menerusi walkie-talking memaklumkan ada orang tidur dalam keadaan mencurigakan di koridor tingkat 5 Plaza Masalam. Saksi memberitahu beliau berlari ke tempat kejadian dan nampak seorang lelaki Cina terbaring berlumuran darah dan sekali imbas melihat darah di bahagian lutut dan muka mangsa. Disebabkan panik dia berlari ke koridor bahagian depan plaza itu sebelum menghubungi penyelianya.

INKUES 5 -Saksi Zabedah Yahya seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada hari kematian Teoh Beng Hock beritahu mahkamah koroner pada 1.10 petang semasa sedang berehat di bilik stor tingkat 19 Plaza Masalam dan ketika hendak menutup tingkap beliau melihat ke bawah koridor tingkat 5 plaza itu ternampak sebujur badan orang yang kelihatan sedang tidur. Dia juga beritahu sepanjang pengalaman 11 tahun bekerja kebiasaannya butir keterangan pelawat yang masuk ke Plaza Masalam hanya dicatat selepas waktu kerja.

INKUES 4 -Prosiding diberitahu 157 sample DNA diambil dari semua pegawai SPRM, polis, forensik dan pekerja cuci bangunan. Tiada apa hendak disembunyikan.

INKUES 3 -Mahkamah benarkan permohonan peguambela dapat salinan kenyataan beramaran saksi. Peguambela juga dah dapat laporan toksilogi, kriminologi dan DNA.

INKUES 2 -Koroner Azmil Muntapha dijangka buat keputusan benar atau tidak permohonan peguam keluarga Teoh dapatkan salinan kenyataan beramaran saksi.

INKUES 1 -Prosiding inkues kematian Teoh dah bermula.Suasana tenang, tiada perhimpunan atau orang awam berpusu-pusu, sekitar 50 wartawan buat liputan.




Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock yang bermula pagi Rabu di Mahkamah Majistret Shah Alam ditangguhkan pada 5 Ogos depan setelah Mahkamah Koroner membenarkan permohonan peguam pemerhati yang mewakili keluarga mendiang untuk meneliti dokumen berkaiatan dengan berkenaan terlebih dahulu.

Koroner Azmil Muntapha Abas ketika membuat keputusan penangguhan berkenaan turut memaklumkan bahawa beliau akan membuat keputusan pada 5 Ogos depan juga sama ada permohonan pihak peguam bela untuk mendapatkan salinan rakaman percakapan beramaran saksi dibenarkan.

Semasa prosiding bermula, peguam pemerhati keluarga mendiang Teoh, Gobind Singh Deo memohon prosiding inkues berkenaan ditangguhkan dan meminta pihak pendakwa menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan seperti laporan kesihatan, bedah siasat dan DNA Teoh untuk diteliti.


Kelihatan beberapa orang ahli keluarga Teoh hadir ke mahkamah untuk mendengar prosiding.

Beliau meminta mahkamah memberikan penangguhan sekurang-kurangnya 10 hari bagi memberikan masa yang secukupnya kepada pihak peguam meneliti dokumen yang berkenaan.

Pihak pendakwa tidak mempunyai masalah terhadap permohonan tersebut dan menyerahkan dokumen berkaitan kecuali rakaman percakapan beramaran saksi-saksi yang terlibat dengan kes berkenaan.

Pada prosiding inkues kematian Teoh, pendakwa raya dengan kebenaran bertulis pada 27 Julai lalu, melantik peguambela dan peguamcara, Tan Hock Chuan bagi pihak Kerajaan Malaysia dalam inkues tersebut.

Manakala keluarga mendiang Teoh selain diwakili Gobind juga diwakili oleh Karpal Singh dan Sankara Nair. Karpal bagaimana pun tidak hadir.

Kerajaan negeri Selangor turut melantik peguam pemerhati pada prosiding berkenaan iaitu Malik Imtiaz Sarwar, Ashok Kandiah, Sreekanth Pillai dan Asma Yunos.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut hadir pada prosiding inkues berkata, kerajaan negeri melantik peguam pemerhati bagi melindungi hak Teoh, ahli keluarga dan pegawai kerajaan negeri yang dipanggil dalam inkues itu.

Walaupun alasan penangguhan disebabkan untuk meneliti dokumen, kerana kebanyakkan peguam yang mewakili keluarga adalah juga pemimpin parti pembangkang, hujah supaya kerajaan menyerahkan siasatan punca kematian Teoh kepada suruhanjaya siasatan diraja tetap diutarakan.

Malah, penasihat DAP Lim Kit Siang yang menghadirikan dirinya turut bercakap di luar mahkamah terus membangkitkan isu suruhanjaya diraja.

Sementara itu, semasa prosiding inkues, Mahkamah Koroner diberitahu terdapat dua profil DNA di belakang kot yang dipakai Teoh ketika kematiannya. Satu dikenal pasti milik mangsa dan satu lagi bukan milik mangsa.

Perkara tersebut diberitahu oleh Tan Hock Chuan, peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia.

Manakala pada tali pinggang si mati, terdapat tiga profil DNA. Satu milik simati, satu lagi pemilik yang tidak diketahui dan satu lagi masih tidak diketahui.


Beliau juga memberitahu, sebanyak 102 DNA telah diambil daripada individu bagi memastikan sama ada ia berpadanan dengan DNA yang tidak diketahui di kot dan di tali pinggang mangsa.- 29/7/2009

Berikut urutan peristiwa hari pertama inkues:


Hari Pertama 29/7/2009

12.00 tengahari:
Mahkamah koroner yang bersambung semula selepas rehat menangguhkan prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock kepada 5 Ogos depan. Koroner Azmil Muntapha ketika buat penangguhan itu berkata, beliau juga akan putuskan pada 5 Ogos depan sama ada dokumen rakaman percakapan beramaran saksi perlu diserah kepada peguam keluarga Teoh.

10.30 pagi: Prosiding inkues berhenti rehat selama 30 minit bagi pertimbang permohonan pihak peguam minta penangguhan. Pihak pendakwa memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya sudah bersedia untuk membekalkan salinan semua dokumen berkaitan kecuali rakaman percakapan beramaran saksi. Majistret Azmil Muntapha Abas yang bertindak sebagai koroner menangguhkan prosiding selama 30 minit bagi menyemak tarikh notis inkues yang baru untuk dimaklumkan kepada keluarga si mati kerana menurut undang-undang ia perlu dimaklumkan dua minggu sebelum inkues bermula.

10.15: Peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh, Gobind Singh Deo memohon prosiding inkues ditangguhkan. Menurutnya pihak beliau perlu dibekalkan dengan dokumen berkaitan dengan inkues seperti laporan perubatan, bedah siasat dan DNA Teoh daripada pihak pendakwa di bawah Seksyen 51a Kanun Acara Jenayah. Beliau meminta penangguhan sekurang-kurangnya seminggu bagi meneliti dokumen yang dipohon.

9.30 pagi: Pihak pendakwa raya dengan kebenaran bertulis pada 27 Julai lalu, telah melantik peguambela dan peguamcara, Tan Hock Chuan bagi pihak Kerajaan Malaysia dalam inkues ini dan dibantu oleh Timbalan Pendakwaraya Idham Ghani serta oleh tiga yang lain. Kerajaan Negeri Selangor melantik peguam Malek Imtiaz Sarwar dan Asma Mohd Yunus sebagai peguam pemerhatin manakala Gobind Singh Deo dan Sankara Nair menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Teoh.



9.20 pagi: Prosiding inkues telah bermula jam 9.15 pagi. Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronie Liu kelihatan memasuki perkarangan mahkamah. Tiada perhimpunan atau tunjuk perasaan berlaku di luar mahkamah. Keadaan di luar mahkamah tenang sahaja. Setakat ini 60 saksi yang disapina telah hadir ke mahkamah.



8.55 pagi: Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret Shah Alam akan bermula. Seawal jam 8.00 pagi saksi dan ahli keluarga mendiang Toh kelihatan sudah sampai di mahkamah. Mereka ialah abang Teoh, Teoh Beng Kee, adiknya, Lee Lan dan tunang Teoh, Soh Cher Wei. Kira-kira jam 8.55 pagi Timbalan Pendakwa Raya Idham Ghani kelihatan sudah memasuki kamar mahkamah. -28/7/2009




DNA lelaki misteri pada baju, tali pinggang Teoh

Inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang anggota exco Selangor, diberitahu pada Rabu bahawa satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang pakaian dan tali pinggang mendiang.

Identiti lelaki itu belum dikenal pasti walaupun contoh sampel DNA daripada 102 individu terbabit telahpun diambil oleh Jabatan Kimia, kata peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik membantu mengendalikan inkues bagi pihak kerajaan, ketika prosiding itu disambung semula pada pukul 11.45 pagi tadi di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Katanya lima sampel telah diambil daripada bahagian belakang blazer yang dipakai oleh Teoh pada hari kejadian dan hasil laporan menunjukkan terdapat dua DNA lelaki pada bahan bukti itu.

Satu daripada DNA itu dikenal pasti sebagai DNA Teoh, yang berpadanan dengan spesimen darahnya, manakala satu lagi pemilik DNA tidak diketahui.

DNA lelaki misteri itu turut ditemui pada bahagian tali pinggang yang dipakai Teoh, yang bercampur aduk dengan DNA mendiang.

"Sampel daripada 102 individu telah diambil bagi menentukan sama ada DNA mereka ini sepadan dengan DNA yang tidak diketahui itu. Laporan bagi 90 individu telah siap, sementara 12 lagi belum diperoleh.

"Saya turut dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat bahawa terdapat dua orang yang enggan memberikan sampel DNA mereka," kata Tan.

Gobind Singh Deo, yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Teoh, menggesa pihak pendakwaan supaya memaklumkan kepada mereka sama ada terdapat sampel DNA daripada 90 individu itu yang sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui tersebut.

"Inilah salah satu sebab lagi mengapa pihak mahkamah perlu menangguhkan prosiding ini bagi menunggu keputusan penuh laporan DNA," kata Gobind.

Tan menjawab : "Sama ada terdapat padanan DNA daripada 90 individu ini dengan DNA yang tidak diketahui itu, perkara ini adalah lebih baik diberitahu sendiri oleh pakar kimia nanti."

Terdahulu Gobind membuat permohonan kepada mahkamah supaya inkues hari ini ditangguhkan sekurang-kurangnya 10 hari bagi membolehkan mereka meneliti segala laporan yang diterima berkaitan kes itu.

Katanya prosiding itu perlu ditangguhkan sementara menunggu jawapan daripada Perdana Menteri berhubung permintaan supaya isu kematian Teoh diputuskan dalam Suruhanjaya Diraja yang akan menjalankan siasatannya nanti.

"Keluarga si mati menghadiri prosiding ini dengan protes. Protes bukan bererti hendak menghina mahkamah tetapi untuk menyampaikan pendirian kami bahawa kami berharap isu kematian Teoh Beng Hock diputuskan dalam Suruhanjaya Diraja.

"Jika Perdana Menteri bersetuju maka prosiding inkues ini tidak perlulah dijalankan," kata Gobind.

Beliau turut mempersoalkan mengapa ahli keluarga Teoh tidak diberikan notis pemberitahuan prosiding inkues itu seperti diperuntukkan dalam garis panduan inkues di bawah arahan amalan Nombor Satu tahun 2007.

Garis panduan itu menetapkan supaya suatu notis pemberitahuan prosiding inkues diberikan kepada ahli keluarga si mati untuk memberitahu butir-butir di mana dan bila prosiding itu akan dilakukan, sekurang-kurangnya dua minggu dari tarikh kematian.

Di luar mahkamah, Gobind mengulas mengenai dua individu yang enggan memberikan sampel DNA mereka, dengan berkata: "Saya tak tahu siapa mereka ini. Saya sekadar boleh membuat andaian kerana dua orang datang berjumpa saya hari ini dan memberitahu bahawa mereka disuruh ke balai. Seorang daripada mereka ialah Tan Boon Wah, seorang Ahli Majlis Perbandaran Kajang, tetapi seorang lagi saya tak kenal.

"Bukan tidak mahu bekerjasama tetapi mereka tidak sempat memandangkan mereka perlu hadir ke mahkamah hari ini."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.-29/7/2009




Inkues kematian Teoh bermula...77 saksi dipanggil


Hari Rabu, tumpuan sudah tentu akan diberikan kepada prosiding inkues kematian setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock apabila 77 saksi akan dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi mengetahui punca kematian mendiang.

Daripada 77 saksi, lapan adalah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Azmil Muntapha Abas dilantik sebagai koroner bagi mengendalikan inkues berkenaan yang dijadual berlangsung selama 15 hari.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika bercakap kepada wartawan memberitahu, berkata walaupun inkues itu bermula esok, polis masih mengalu-alukan maklumat tambahan yang boleh membantu siasatan kes itu.

"Buat masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi ia boleh dipinda jika ada penemuan baru," katanya.

Menurut beliau, polis sudah mengeluarkan sapina kepada 77 orang semua mereka perlu menghadirikan diri pada sesi inkues di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi Rabu.

Teoh, 30, ditemui mati 16 Julai lalu di atas bumbung tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam dipercayai terjatuh terjatuh dari bangunan yang turut menempatkan pejabat SPRM cawangan Selangor. Beliau ditemui mati selepas dipanggil memberi keterangan dalam siasatan dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 22 Julai lalu, mengumumkan mengumumkan satu inkues yang diketuai seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh kerana menurut Kanun Acara Jenayah, penentuan punca kematian seseorang hendaklah dilakukan melalui satu proses inkues.

(Berita - berita ini diambil dari Agenda Daily, 5 Ogos 2009)







No response to “BERITA”

Post a Comment